Najib bertegas telah kembalikan dana politik

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan bahawa dana politik RM 2.6 bilion yang diterimanya tidak disimpannya dan telah dikembalikan.

Kali ini kata Najib, walaubagaimanapun jumlah yang diterimanya tidak sama dengan yang dikembalikan oleh kerana berlaku pengurusan wang sebanyak 10 peratus.

“Maka selepas Ambank menggunakan masa seketika untuk menukarkan Ringgit dalam akaun saya kembali kepada Dolar Amerika Syarikat, kesemua dana ini dikembalikan kepada sumber yang diterima iaitu Tanore.

“Oleh kerana kadar pertukaran wang berbeza dengan penyusutan sebanyak 10% dari bulan Mac sehingga Ogos, hanya US$620 dikembalikan berbanding dengan US$681 yang diterima.

“Kesimpulannya ialah saya tidak simpan RM2.6b ini. Jika seseorang mahu menyamun pun, tidaklah masuk akal untuk menyimpannya dalam akaun bank di atas nama sendiri dan kita tahu ia bukan dari dana 1MDB di mana kita semua tahu dananya ialah dari sumber pinjaman,” katanya menerusi Facebook.

Justeru menurut Najib tidak munasabah tuduhan bahawa ia merupakan wang yang dicuri dengan menggunakan akaun bank Ambank miliknya.

“Wang yang dipinjam mesti dibayar balik dan jika mahu mencuri dari sana tentu akan bermasalah bila sampai masa untuk membayar hutang,” tambahnya.

Dana berbilion ringgit itu disifatkan disimpan olehnya didakwa Najib hanya persepsi buruk Pakatan Harapan untuk terus memburukkannya apatah lagi memanfaatkan dengan janji saya kepada bekas Raja Arab Saudi yang mangkat, Allahyarham Raja Abdullah Abdul Aziz sebelum ini untuk merahsiakannya.

“Sebenarnya, pemimpin-pemimpin Pakatan tahu hakikat ini tetapi tidak mahu mengaku bahawa saya tidak menyimpan RM2.6 bilion ke dalam poket untuk beli cincin atau beg tangan.

“Tetapi persepsi inilah yang mereka wujudkan di kalangan rakyat kononnya saya merompak, menyamun dan mencuri berbilion-bilion, dan ramai terpengaruh dengan dakyah itu,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, pada Isnin lalu, buat pertama kalinya, Najib mendedahkan tiga dokumen membabitkan perjanjian pembiayaan kewangan daripada bekas Raja Arab Saudi yang mangkat, Allahyarham Raja Abdullah Abdul Aziz, mengesahkan dana RM2.6 bilion dimilikinya adalah derma keluarga diraja berkenaan.

Tiga dokumen itu didakwanya diterima daripada Raja Abdullah, dengan satu daripadanya tertera perkataan Recognition of Contribution to the Islamic World (pengiktirafan sumbangan kepada dunia Islam) bertarikh 1 Februari 2011.

Dua lagi dokumen adalah penyata transaksi kewangan yang diterima bertarikh 24 Februari 2011 dan 25 November tahun yang sama. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.