MoF Inc. Tarik Balik Pelantikan Zakaria Sebagai Pengarah FGV

KUALA LUMPUR – Khidmat presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd Datuk Zakaria Arshad sebagai pengarah ditamatkan berkuat kuasa semalam (11 September).

Menerusi satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV memberitahu ia menerima surat daripada pemegang saham khas, Menteri Kewangan (Diperbadankan), yang menarik balik pelantikan Zakaria sebagai pengarah lantikan kerajaan dalam pelaksanaan perlembagaan baharu FGV, yang diluluskan pemegang saham FGV 28 Jun lepas.

Tindakan itu mengikut fasal 89(3) yang menyatakan khidmat pengarah lantikan kerajaan akan ditamatkan apabila pelantikan ditarik balik.

Antara jawatan yang kini dipegang Zakaria dalam organisasi lain ialah Naib Pengerusi Persatuan Penapis-penapis Minyak Sawit Malaysia; Ahli Silih Ganti Lembaga Minyak Sawit Malaysia; Ahli Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE) Universiti Malaysia Kelantan dan penasihat Persatuan Trak Makanan Bergerak dan Makanan Jalanan Malaysia.

Perubahan itu menyusuli pelantikan 2 pengarah bebas baharu FGV – bekas CEO Bursa Malaysia Datuk Yusli Mohamed Yusoff dan Ahli Lembaga Pengarah Zurich Life Insurance Malaysia Bhd Datin Hoi Lai Ping. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.