“Kami Beri Tempoh 7 Hari”, Mahasiswa Desak Maszlee Letak Jawatan

KUALA LUMPUR – Letak jawatan dalam tempoh tujuh hari, ataupun berdepan dengan ‘gelombang’ mahasiswa, itu kata dua yang diberikan aktivis mahasiswa kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Resolusi itu dikeluarkan dalam mesyuarat tertutup antara Maszlee dengan mahasiswa berkenaan, ekoran desakan agar menteri itu meletakkan jawatannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta-merta, tidak diendahkan.

“Kami beri tempoh tujuh hari untuk meletakkan jawatan. Jika beliau tidak berbuat demikian, kami akan mengumpul dan menggerakkan lebih ramai pelajar untuk menentang beliau,” kata ketua Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Pertemuan tertutup yang berlangsung selama kira-kira sejam yang diadakan di sebuah restoran di sini turut dihadiri Maszlee dan kira-kira 50 wakil pelajar dari seluruh institusi pengajian tinggi (IPT).  

Asheeq berkata Maszlee memberikan alasan tidak wajar untuk kekal sebagai presiden UIAM yang kononnya mahu “membuat perubahan dari dalam.”

Tegasnya, universiti awam patut bebas daripada sebarang lantikan politik.

Sementara itu, Maszlee pula dalam sidang media yang berasingan enggan berganjak daripada pendiriannya sambil menambah, pelantikan dirinya sebagai Presiden UIAM dilakukan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

“Saya mempunyai misi dan visi tersendiri dalam menjadikan UIAM sebagai salah sebuah ‘Universiti Oxford’ negara Islam. Saya juga ada komitmen sendiri terhadap universiti ini.

“Tambahan pula saya disokong oleh rektor dan dilantik Presiden UIAM oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM, secara undang-undang saya sudah menjadi presiden. Sebab itu saya perlu berunding dengan semua pihak di UIAM kerana lantikan dibuat bukan membabitkan keputusan saya,” katanya.

Sebelum ini ramai pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) membantah pelantikan berkenaan kerana dikhuatiri akan mewujudkan konflik kepentingan. 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam reaksinya baru-baru ini menjelaskan bahawa kerajaan sensitif mengenai perkara itu selepas isu tersebut menerima kritikan negatif daripada pelbagai pihak. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.