Polis Siap Sedia Hadapi Ancaman IS Pada Hari Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman atau serangan yang mungkin ditimbulkan oleh kumpulan pengganas IS pada Hari Malaysia September 16 ini.

 

“Di seluruh negara kita akan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang ancaman, baik dari IS atau sesiapa sahaja yang mahu mengancam sambutan Hari Malaysia,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

 

Bercakap pada sidang akhbar selepas Program Ibadah Korban dan Akikah Peringkat Bukit Aman di Kuala Lumpur, Khalid berkata anggota polis akan diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga pada hari itu.

 

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Abdullah dilaporkan berkata serangan IS pada Hari Malaysia adalah satu kemungkinan.

 

Polis sebelum ini berjaya menggagalkan kemungkinan serangan oleh tiga suspek militan pada malam sebelum Hari Merdeka.

 

Ketiga-tiga mereka didakwa merancang menyerang pusat-pusat hiburan, kuil Hindu di Batu Caves serta balai polis menggunakan bom atau senjata api.

 

Ogos lalu, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Maidin Pitchay berkata laporan perisikan menunjukkan bahawa pengganas di Malaysia mungkin masih memiliki lapan lagi bom tangan seumpamanya.

 

Sementara itu, mengulas mengenai penculikan Sabah baru-baru ini, Khalid berkata, polis akan melakukan apa yang terdaya bagi memastikan keselamatan ketiga-tiga mangsa Filipina itu.

 

“Kami tidak boleh membiarkan sebarang aktiviti jenayah terutamanya penculikan di perairan kita, kita akan lakukan apa yang boleh untuk memastikan keselamatan mereka,” katanya.

 

Sabtu tiga anak kapal warga Filipina yang memiliki dokumen IMM13 yang sah dan surat bancian daripada Pasukan Pertugas Khas diculik dari sebuah kapal nelayan di perairan Pulau Pom Pom, Semporna.

 

Dalam perkembangan berasingan, Khalid berkata polis masih memburu empat lelaki yang menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Sahib Ansar.

 

Beliau berkata polis telah mempertingkatkan kawalan keselamatan di kediaman dan pejabat bagi menjamin keselamatan peribadi ketua misi diplomat itu.

 

“Kita kesal apa yang berlaku dan telah meningkatkan kawalan keselamatan di kedua-dua tempat,” katanya.

 

Ibrahim Sahib diserang oleh beberapa lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 September lalu.

 

Serangan itu dipercayai berkaitan dengan penunjuk perasaan yang membantah kehadiran bekas Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa yang berada di negara ini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP).

 

Dua lelaki telah didakwa berhubung kejadian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.