MB Kedah Jalani Rawatan Susulan Di Hospital

KUALA LUMPUR – Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Nahar Tajri menafikan dakwaan bahawa Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kecemasan seperti disebarkan di laman sosial.

 

Katanya, Ahmad Bashah hanya menjalani siri pemeriksaan susulan pembedahan Jun lalu akibat komplikasi usus, selain rawatan yang diperlukan untuk memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik.

 

Menurutnya, Ahmad Bashah mengambil inisiatif sendiri pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai tahap kesihatannya.

 

“Saya tidak menafikan Menteri Besar ada ke HSB untuk pemeriksaan susulan selepas pembedahan yang dijalani Jun lalu.

 

“Bagaimanapun, beberapa siri pemeriksaan susulan disalah anggap sebagai Menteri Besar dimasukkan ke hospital kerana kecemasan adalah tidak benar,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online, hari ini.

 

Menurut Nahar berkata, doktor juga menasihatkan Ahmad Bashah supaya berehat, selain perlu mengurangkan pertemuan dengan terlalu ramai orang dalam masa tertentu bagi mengelak jangkitan pada luka dalaman akibat pembedahan.

 

“Sehingga kini, Menteri Besar dijangka bercuti sehingga 21 September ini untuk berehat dan menyambut Aidiladha bersama keluarganya,” katanya.

 

Spekulasi bahawa Ahmad Bashah dimasukkan ke hospital mula disebarkan pagi tadi melalui akaun Aduan Rakyat Kedah di laman sosial Facebook.

 

Ahmad Bashah dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) pada 4 Jun lalu selepas pitam dan kemudian dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan akibat komplikasi usus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.