UPSR: Polis Ambil Keterangan Tujuh Individu

Kuala Lumpur – Polis mengambil keterangan enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan seorang wartawan bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng hari ini berkata, polis sedang mengumpul keterangan dari pelbagai pihak bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu.

“Setakat ini, tujuh rakaman percakapan diambil dari kesemua tujuh individu berkenaan untuk membantu siasatan. Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini,” katanya kepada Bernama.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid menduduki peperiksaan tersebut pada Khamis, manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar menduduki peperiksaan tersebut pada Khamis juga.

LPM menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.