PRK Pengkalan Kubor: BN Jelas Isu Royalti Petroleum Dalam Kempen – Muhyiddin

Tumpat – Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sebagai platform untuk menjelaskan isu royalti petroleum, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, dalam penjelasan yang akan diberikan itu, BN akan menjawab segala fitnah mengenai kononnya Petronas masih belum membayar royalti berjumlah RM12 bilion kepada kerajaan negeri Kelantan.

Beliau yang menjangkakan PAS akan menggunakan isu royalti pada PRK itu berkata BN akan memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan bahawa isu royalti adalah satu fitnah pihak pembangkang terhadap kerajaan pusat.

“Ingin saya jelaskan bahawa tuduhan yang dilemparkan itu sebenarnya adalah fitnah dan ia serius.

“Petronas adalah syarikat milik kerajaan yang mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti. Kawasan (cari gali minyak) terlibat adalah melalui kerjasama dengan Thailand dan jaraknya juga adalah lebih tiga batu nautika dan itu bukan milik kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon PRK itu di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, Sabtu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mencabar PAS menyiasat daripada semua sudut dan memberi bukti secara spesifik dakwaan yang mengatakan Petronas dan kerajaan tidak membayar royalti sebanyak RM12 bilion itu.

“Kita bersikap terbuka dan mereka boleh siasat di mana sahaja dan nyatakan kepada kita jika terdapat keraguan,” katanya.

Beliau berkata walaupun begitu kerajaan Persekutuan tetap prihatin dan bersetuju membayar wang ehsan yang kini berjumlah RM140 juta kepada Kelantan.

Katanya kerajaan dan Petronas telah membuat penafian sebelum ini terhadap dakwaan itu dan berharap PAS tidak lagi membuat fitnah berhubung soal royalti kerana ia merupakan satu dosa besar dalam agama.

“Mereka menuduh kita (kerajaan BN) sehingga menampakkan seolah kita yang bersalah dan kita tidak merasa takut dan saya katakan tadi mereka boleh membuat pemeriksaan terhadap Petronas berhubung perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yakin BN mampu mengekalkan kemenangan pada pilihan raya kecil tersebut pada 25 Sept ini.

Beliau berkata ini berdasarkan kepada ketokohan calon BN Mat Razi Mat Ail serta perpaduan erat yang ditunjukkan oleh semua anggota Umno dan BN di kawasan itu.

“Rekod calon BN Ustaz Mat Razi ini adalah amat cemerlang dalam perjawatan, kelulusan akademik serta pengasas pondok dan saya yakin ia adalah calon paling layak.

“Saya yakin pengundi (yang mengundi) BN pada pilihan raya (umum) lepas akan memilih semula BN kali ini malah lebih baik lagi (majoriti lebih tinggi). Kita sudah bersedia hadapi tentangan hebat daripada PAS,” katanya.

Pada PRK itu, calon BN akan ditentang calon PAS iaitu Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos.

Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Nor Zahidi mengalahkan calon PKR Shaharun Ibrahim dan Izat Bukhary yang juga bertanding sebagai calon Bebas dengan majoriti 1,736 undi.

Sementara itu, Muhyiddin menyangkal dakwaan kononnya Allahyarham tidak melakukan sesuatu untuk membangunkan Pengkalan Kubor semasa menjadi wakil rakyat dan menyifatkan ia sebagai satu lagi fitnah pembangkang.

“Nanti kita akan senaraikan segala (jasa) yang telah dibuat Allahyarham di sini. Kawasan ini dalam Parlimen Tumpat yang dikuasai PAS dan PAS juga sepatutnya bertanggungjawab mengadakan pembangunan,” katanya.

Mengenai calon Bebas, Muhyiddin berharap jentera BN tidak memperkecilkan kekuatan calon lawan.

“Kalau calon Bebas dapat tarik dua tiga ratus pengundi sudah memberi kesan…menang satu undi pun dah dikira menang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.