Tangan Wanita Putus Ditetak Suami Berjaya Disambung

GEORGETOWN – Pergelangan tangan kiri seorang wanita yang putus akibat ditetak suami, berjaya disambung semula selepas pembedahan hampir 15 jam di Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.

Bagaimanapun, mangsa masih ditempatkan di wad kerana doktor mahu memantau keadaannya bagi melihat sama ada tangan wanita berkenaan berfungsi atau sebaliknya.

Selain pergelangan tangan kirinya yang putus, mangsa juga turut patah kaki kanan akibat diperlakukan dengan kejam oleh suaminya itu ketika berada dalam kereta di parkir tingkat tiga flet Bayu Nyaman.

Menurut sumber, suami mangsa memang seorang yang kuat cemburu dan dia sudah lama menyimpan dendam kerana marah berikutan wanita terbabit sambung belajar di kolej perubatan.

“Mangsa menyambung pelajaran dalam bidang kejururawatan di sebuah kolej di ibu negara dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati kepada suspek.

“Suspek juga menuduh wanita terbabit mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sumber itu berkata, pasangan terbabit mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup mereka iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

“Difahamkan, mereka kini dalam proses bercerai dan anak lelaki tinggal bersama suspek manakala anak perempuan pula dijaga mangsa,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.