Kerajaan Terpaksa Bayar Pampasan RM400 Bilion Jika Mansuh Tol – Menteri

KERAJAAN setuju menangguhkan cadangan menghapuskan tol sehingga keadaan ekonomi stabil.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, penangguhan itu dipersetujui selepas kerajaan menimbangkan kesan pemansuhan terhadap kedudukan kewangan negara.

Katanya, pemansuhan tol di negara ini akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan melebihi RM400 bilion kepada syarikat konsesi tol.

“Berdasarkan kedudukan kewangan semasa, kerajaan berpandangan lebih baik ditangguhkan sehingga kedudukan ekonomi benar-benar stabil dan keadaan mengizinkan,” katanya menjawab soalan asal Datuk Jalaluddin Alias (BN-UMNO Jelebu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Jalaluddin bertanya mengenai senarai terkini tol yang akan dimansuhkan bagi membantu meringankan beban rakyat dan jangkaan pemansuhan dilaksanakan.

Baru berkata, selepas mengambil kira pelbagai faktor dan implikasi terhadap kewangan negara, kerajaan mengakui pemansuhan tol bukan mudah dilaksanakan ketika ini.

“Bagi mengurangkan bebanan kos rakyat, Majlis Kos Sara Hidup meneliti beberapa langkah yang lebih praktikal dan bermanfaat kepada rakyat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Jalaluddin mengenai langkah diambil sebelum membuat penangguhan tol itu memandangkan janji 100 hari hampir berakhir, Baru berkata, pemansuhan tol tidak termasuk dalam janji 100 hari.

“Kita menangguhkan pemansuhan tol kerana kita kerajaan bertanggungjawab dan praktikal serta bertindak adil kepada semua pihak.

“Ketika kita buat manifesto, kita meneliti keadaan waktu itu tanpa mengetahui kedudukan kewangan sebenar negara.

“Selepas mengambil alih kerajaan, baru kita tahu status sebenar dan sebab itu kita tangguhkan dulu,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.