Dr Mahathir Cabar Pemimpin PKR Tunjuk Bukti Ada Usaha Halang Anwar Jadi PM

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar pihak yang menuduh beliau cuba menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepasnya menunjukkan bukti.

Menyifatkan tuduhan itu sesuatu yang bagus, Mahathir menjelaskan dirinya tidak pernah mencampuri urusan parti lain dalam menentukan keputusan mereka.

“Tuduhan yang bagus…(Tapi) mereka kena buktikan. Saya tidak pernah bercakap dengan sesiapa pasal ini.

“Saya tidak pernah masuk campur urusan mengenai parti lain,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah di pejabatnya hari ini.

Sabtu lalu, calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa Tun Daim Zainuddin antara pihak cuba menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

Daim kini mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan yang dibentuk Mahathir.

Dalam jelajah “Debat Reformasi 20 Tahun” di Negeri Sembilan, Abdullah Sani didakwa berkata, kepimpinan PKR mengeluarkan senarai pilihan atau ‘cai’ diketuai Rafizi Ramli diwujudkan bagi mengelakkan pengkhianat dan kumpulan kartel menguasai pucuk pimpinan parti serta menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Kita tahu kebelakangan ini banyak pihak cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Ya, kita tahu mereka bersekongkol dengan mereka yang menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya sebut terang-terang Tun Daim Zainuddin.

“Peranan beliau untuk memastikan kalau kita tidak pilih Rafizi Ramli hari ini (sebagai timbalan presiden PKR), sudah tentu sukar Datuk Seri Anwar (menjadi) perdana menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.