Taylor Rasa Punggungnya Dicengkam Lama

Bintang pop Taylor Switft menyifatkan insiden punggungnya dicengkam bekas deejay pada Jun 2013 sebagai pengalaman “menakutkan dan mengejutkan.”

Memberi keterangan di mahkamah di Denver, Colorado, Taylor berkata cengkaman oleh David Mueller itu berlangsung lama dan memang disengajakan.

“Saya memang yakin punggung saya dicengkam. Ia berlangsung dalam tempoh yang lama dan memang sengaja dilakukan. Saya dapat rasakan tangannya mencengkam punggung saya di dalam skirt,” katanya.

Penyanyi berusia 27 tahun itu mengemukakan saman terhadap Mueller, 55, atas kejadian berlaku pada sesi suai kenal empat tahun lalu.

Mueller bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Memberi respon terhadap peguam tertuduh Taylor berkata Mueller masih tidak melepaskan tangan dari punggungnya walaupun ketika dia cuba beredar dari situ.

“Situasi itu amat mengejutkan. Saya tidak pernah berdepan perkara sebegitu sebelum ini,” katanya.

Tuduhan itu didakwa berlaku ketika rombongan jelajah konsert Taylor singgah di Denver. Mueller ketika itu bekerja untuk stesen radio popular KYGO dijemput berjumpa penyanyi terbabit sebelum persembahan berlangsung.

Rasa jijik sangat

Ekoran insiden itu Taylor membuat aduan kepada KYGO dan stesen berkenaan menamatkan khidmat Mueller dua hari kemudian.

Mueller menyaman penyanyi Bad Blood itu pada September 2015 ekoran kehilangan kerja, tetapi Taylor mengemukakan saman balas terhadap deejay terbabit sebulan kemudian.

Semasa perbicaraan, peguam Mueller, Gabriel McFarland, turut bertanya mengapa pengawal keselamatan Taylor tidak berbuat sesuatu.

Taylor membalas, tiada sesiapa menjangkakan perkara itu boleh berlaku.

“Ia tidak pernah berlaku,” katanya.

Taylor juga menolak cadangan McFarland bahawa dia tersilap orang dan menyalahkan Mueller secara semberono.

“Saya tidak akan membenarkan kamu atau anak guam kamu menyalahkan saya dalam hal ini,” katanya.

Semalam, ibu Taylor, Andrea Swift, memberitahu mahkamah dia berasa amat jijik dengan kejadian menimpa anaknya apabila ia diceritakan kepadanya.

Kata Andrea dia “menangis dan termuntah” selepas dimaklumkan mengenainya.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.