Pesara Kerajaan Ditahan, Terlibat Pemalsuan Kad Pengenalan, Lesen

KOTA BHARU –  Seorang pesara kerajaan yang terbabit menghasilkan dokumen palsu kerajaan sejak setahun lalu diberkas dalam Ops Lejang di sebuah rumah di Kampung Binjai di sini, 2 Ogos lalu.

 

Difahamkan, kad pengenalan dan lesen palsu dihasilkan suspek hampir 90 peratus menyamai dokumen tulen, sekali gus menunjukkan ia dihasilkan dengan begitu teliti.

 

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 57 tahun itu menerbit dan menjual kad pengenalan serta lesen palsu terbongkar apabila ditahan jam 6 pagi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

 

Ketua Polis negeri Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan itu, polis menemui mesin pencetak bernilai RM8,000 dan mesin pengimbas yang dibeli dari Thailand dipercayai digunakan bagi mencetak dokumen palsu itu.

 

Beliau berkata, selain itu, turut ditemui enam komputer riba, 13 lesen memandu dan tiga kad pengenalan palsu.

 

“Suspek berasal dari Kampung Geting, Tumpat pesara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan licik menjalankan kegiatan ini sejak setahun lalu.

 

“Suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu seorang diri di rumahnya tanpa diketahui orang ramai atau ahli keluarga kerana tidak mahu dikesan. Modus operandi suspek menjual satu dokumen palsu kepada orang tengah dengan harga RM150 hingga RM200 sebelum ia dijual pula kepada pemohon warga asing,” katanya.

 

Menurutnya, kegiatan dijalankan secara senyap hanya bertemu orang tengah jika ada permintaan dan menawarkan diri untuk menghasilkan dokumen palsu itu. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.