Pengawal Pantai Cemas, Anak Ular Masuk Dalam Seluar

MASJID TANAH – Seorang pengawal pantai berdepan detik cemas apabila seekor anak ular sepanjang kira-kira 70 sentimeter memasuki seluar dipakainya di Pantai Tanjung Bidara di sini, pagi tadi.

 

Dalam kejadian jam 11 pagi, lelaki berusia 50 tahun itu dikatakan sedang berehat di sebuah pondok di tepi pantai berkenaan, sebelum terkejut apabila berasa objek bergerak masuk di betis kiri lalu memegangnya.

 

Mangsa berkata, sejurus mencekup kepala haiwan reptilia itu, beliau menghadapi kesukaran untuk mengeluarkannya kerana kaki seluar yang dipakai agak ketat.

 

“Walaupun malu untuk meminta bantuan, dengan pertolongan orang awam yang memaklumkan kejadian kepada anggota keselamatan yang berada berhampiran berjaya menarik keluar ular spesies kempas atau ular daun ini dari seluar saya,” katanya.

 

Sementara itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Zul Akhman Othman, berkata ketika kejadian beliau berada di pesisir pantai selepas tamat tugas operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas.

 

“Saya mendekati pengawal pantai berkenaan yang kelihatan gelisah, sebelum menarik ekor ular berkenaan dari kaki seluarnya,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!