Video: Paul Low Nafikan Dakwaan, ‘Perang’ SPRM vs PDRM

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan menafikan dakwaan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berperang menentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Paul ketika ditemui SuaraTV baru-baru ini berkata, beberapa siri tangkapan yang dilakukan oleh pihak PDRM sebelum ini adalah disebabkan wujud kebocoran maklumat dalam siasatan yang dilakukan oleh SPRM.

 

 

Menurutnya isu kebocoran maklumat itu amat membimbangkan dan satu siasatan secara menyeluruh perlukan dilakukan.

 

“Contohnya jika kita sedang menyiasat judi haram, sudah tentu kita tak mahu maklumat itu didedahkan. Kita perlu pelihara integriti penyiasatan.

 

“Mereka tidak menghentikan siasatan, tetapi sepanjang penyiasatan, ada pihak bocorkan maklumat sebab itu mereka ditahan dan disoal siasat. Tindakan yang dilakukan oleh PDRM itu sah,” katanya kepada SuaraTV ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

 

Paul bagaimanapun meminta pihak PDRM agar melakukan siasatan yang dijalankan itu dengan cara yang berhemah bagi mengelakkan persepsi buruk dilontarkan oleh masyarakat.

 

“Jika ada dokumen yang dirampas, perlu ingat, dokumen itu berkaitan siasatan mereka dan pulangkan kesemuanya kerana mereka pelu selesaikan penyiasatan.

 

“Kita tidak seharusnya melakukan intimidasi terhadap pegawai kerana mereka penyiasat dan mereka tahu tugas mereka (dan) semua ini kerana curiga dan kita perlu hormati hak mereka,” ujarnya.

 

Tindakan agresif yang dilakukan oleh PDRM terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM sebelum ini dikatakan sebagai cubaan untuk menganggu siasatan yang dijalankan terhadap SRC International Sdn Bhd.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun menjelaskan pihaknya hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat berdasarkan laporan polis yang diterima.

 

Khalid berkata polis tidak sekali-kali berniat untuk mengganggu apa juga siasatan yang dilakukan apatah lagi menyasarkan mana-mana institusi lebih-lebih lagi SPRM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.