PasMa Kekal NGO, GHB Jadi Parti Politik – Phahrolrazi

ALOR SETAR – Pasma membuat ketetapan untuk terus mengekalkan statusnya sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Presidennya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan beberapa perkara.

 

“Kita buat pendirian bahawa Pasma tidak akan dibubarkan dan kekal sebagai NGO yang bergerak dalam membantu, menyokong dan memperkukuhkan PR.

 

“Keputusan ini juga dibuat untuk memberi laluan kepada Harapan Baru menubuhkan sebuah parti politik Islam baharu,” katanya, semalam.

 

Perkara itu secara tidak langsung menamatkan persoalan tentang pertimbangan Pasma untuk menukar statusnya kepada sebuah parti politik sebelum ini.

 

Phahrolrazi berkata, Harapan Baru bakal menjadi sebuah parti Islam baharu yang meneruskan perjuangan Pas dan menggunakan pendekatan terbuka seperti Pas Untuk Semua.

 

“Mereka belum lagi disahkan sebagai sebuah parti, tetapi Pasma bersama hampir 10 NGO lain di seluruh Malaysia akan bersama-sama membantu pergerakan Harapan Baru.

 

“Harapan kita supaya Harapan Baru menjadi sebuah parti terbesar yang dapat memperkukuhkan kembali PR baharu,” katanya.

 

Menurutnya, walaupun Harapan Baru akan menjadi parti terbesar dalam PR namun, ia tidak bermakna menjadi parti dominan dalam gabungan itu.

 

“Dalam PR kita tiada parti dominan seperti yang dilakukan oleh BN. Kita bersifat terbuka dan semua parti boleh mengambil tempat,” katanya.

 

Mengulas sama ada parti itu mungkin meletakkan calon PRU14 di kawasan ditandingi Pas, beliau mengesahkan bahawa tiada perbincangan dibuat mengenainya buat masa ini.

 

“Kita belum bincang mengenai itu, cuma penumpuan kita sekarang lebih kepada jawatankuasa penajaan untuk menubuhkan parti baharu,” katanya.

 

Pada 31 Mac lalu, Pasma mengumumkan bahawa sedia mempertimbangkan untuk mengubah statusnya sebagai NGO kepada sebuah parti politik.

 

Phahrolrazi berkata, pertimbangan itu dibuat berikutan berlaku ketidakstabilan pada gabungan PR yang dilihat semakin kritikal. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.