PAS Beri Amaran Ambil Tindakan Pemimpin Sabotaj Parti

KOTA BHARU – Pas tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut perlembagaan parti sekiranya mendapati masih ada ahli yang cuba mensabotaj atau melakukan tindakan yang boleh melemahkan parti Islam itu.

 

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika mereka tidak lagi yakin dengan parti itu dan tidak mahu memegang amanah serta tanggungjawab yang diberikan, mereka boleh membuat keputusan berundur secara terhormat.

 

“Kita bagi amaran kepada ahli dan juga mana-mana pemimpin yang memegang jawatan tidak kira mana peringkat, jangan cuba sabotaj atau melemahkan parti. Jawatan yang dipegang adalah pilihan yang diputuskan melalui mesyuarat agung, maka ia adalah satu amanah.

 

“Jika mereka rasa sudah tidak mampu pegang tanggungjawab tersebut, mereka perlulah bersikap profesional. Kita tidak pernah menghalang, itu adalah hak ahli,” katanya, semalam.

 

Menurutnya, sehingga kini pihaknya menerima 10 aduan mengenai kes yang melibatkan sabotaj parti dan Kelantan hanya mencatat satu kes berbanding beberapa negeri lain yang melebih tiga kes.

 

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat dan mendapatkan bukti kukuh sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap aduan yang diterima bagi memberi keadilan yang sewajarnya kepada pengadu.

 

“Kita tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan, aduan yang diterima akan disiasat dengan baik, bila semuanya sahih, bukti kukuh, baru kita buat keputusan yang sepatutnya,” katanya.

 

Dalam masa sama, beliau turut mengulas tindakan 13 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Pas Shah Alam yang mengumumkan peletakan jawatan mereka di peringkat kawasan, kelmarin.

 

Takiyuddin berkata, Pas menghormati tindakan tersebut kerana ia merupakan hak ahli sama ada untuk berhenti, meneruskan perjuangan ataupun keluar dari parti.

 

“Walaupun diakui kita sedih dengan perkara ini, namun itu hak mereka. Kalau rasa tidak selesa lagi dengan Pas, maka mereka berhak membuat keputusan begitu.

 

“Ada yang bertanya, bagaimana dengan mereka yang isytihar ahli Pas seumur hidup, jawapan saya, itu urusan beliau dengan Allah, saya doakan selamat maju jaya,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.