Lelaki Korea Bakar Diri Di Kedutaan Jepun

Seoul (Korea Selatan) – Seorang lelaki warga emas bertindak membakar dirinya di luar Kedutaan Jepun di Seoul semasa protes menuntut Tokyo mengemukakan permohonan maaf kerana memaksa wanita Korea Selatan bekerja di rumah pelacuran tentera pada era Perang Dunia Kedua.

 

Insiden berkenaan berlaku dua hari menjelang ulang tahun ke-70 peristiwa berakhirnya penjajahan Jepun ke atas Semenanjung Korea dari 1910-1945, Sabtu ini lapor Reuters .

 

Difahamkan, protes berkenaan turut disertai kira-kira 2,000 penunjuk perasaan, termasuk 47 wanita yang pernah dijadikan hamba seks oleh tentera Jepun semasa perang.

 

“Nampaknya lelaki berkenaan berniat untuk membunuh diri memandangkan botol yang dibawa bersamanya dipenuhi petrol,” kata jurucakap bomba.

 

Agensi berita Yonhap berkata, warga emas berkenaan berusia dalam lingkungan 80-an dan berasal dari selatan bandar Gwanju.

 

Selepas perang berakhir, Tokyo berulang kali menafikan dakwaan tenteranya menjadikan wanita Korea sebagai hamba seks.

 

Menurut sejarah, sekitar 200,000 wanita berasal dari Korea, China, Indonesia, Filipina dan Taiwan dipaksa bekerja sebagai hamba seks atas paksaan tentera Jepun. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.