JACC Sahkan Serpihan Sayap Pesawat Milik MH370

Kuala Lumpur – Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) akhirnya mengesahkan bahagian sayap pesawat dikenali sebagai flaperon yang ditemui di Pulau Reunion adalah daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lalu.

 

“Pemeriksaan seterusnya menunjukkan dalam semua kemungkinan, serpihan bahagian sayap dikenali sebagai flaperon ialah daripada MH370,” kata JACC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada 29 Julai lalu, serpihan sayap pesawat telah ditemui di pantai Pulau Reunion dan dihantar ke Perancis untuk analisis lanjut.

 

Pada 6 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan flaperon yang ditemui itu ialah sebahagian daripada komponen pesawat MH370.

 

Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Kuala Lumpur bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal, termasuk 154 penumpang warga China.

 

Mengenai perkembangan operasi mencari, JACC berkata, kapal Fugro Discovery telah tiba di Lautan Hindi dan menyertai operasi pencarian MH370 pada awal pagi Rabu.

 

“Fugro Equator tiba di Fremantle, Australia pagi tadi untuk operasi rutin mengisi semula bekalan dan akan bertolak ke kawasan pencarian pada Khamis,” katanya.

 

Sementara itu, Menteri di Pejabat Presiden Maldives, Mohamed Shareef dipetik AFP sebagai berkata, tiga pakar penerbangan dari Malaysia memeriksa serpihan yang dijumpai di pulau itu, hari ini, untuk menentukan sama ada ia bangkai pesawat MH370.

 

Jelasnya, ketiga-tiga mereka yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman telah menemui pihak berkuasa tempatan dan memeriksa serpihan terbabit, selepas tiba di kepulauan itu pada Selasa malam.

 

Katanya. pakar-pakar tersebut akan kembali ke Malaysia pada lewat Rabu, sebelum melaporkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.