Bunuh Anjing Sebelum Merompak

George Town – Tiga perompak meracun hingga mati dua ekor anjing sebelum menyamun.

 

Kejadian berlaku di sebuah rumah banglo di Tingkat Bukit Jambul, George Town, Pulau Pinang kira-kira jam 3 pagi, Rabu.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata, dalam kejadian itu perompak yang memakai topeng muka melarikan wang tunai serta pelbagai barangan bernilai lebih RM7,000.

 

Katanya, pasangan suami isteri berusia 40an yang merupakan pemilik rumah telah dikejutkan dari tidur oleh salah seorang daripada tiga perompak terbabit.

 

“Apabila membuka mata, mereka melihat tiga lelaki berpakaian serba hitam, memakai topeng muka serta memegang kayu, pemutar skru dan pisau berada di ruang tamu rumah mereka,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

 

Beliau berkata, mereka kemudian mengikat tangan pasangan itu dengan wayar elektrik sebelum dua daripada lelaki terbabit ke tingkat atas menyelongkar barang-barang berharga.

 

“Ketiga-tiga lelaki terbabit melarikan diri bersama-sama dua telefon bimbit, tablet, kamera, kad pengenalan, pasport dan lesen memandu serta sejumlah wang milik mangsa menyebabkan pasangan itu kerugian lebih RM7,000,” ujarnya.

 

Katanya lagi, berdasarkan keterangan mangsa, polis tidak menolak kemungkinan ia dilakukan warga asing berdasarkan bahasa yang dipertuturkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.