Bengkel Buat Senjata Api Haram Di Ipoh, Terbongkar

Ipoh – Polis Perak membongkar kegiatan sebuah bengkel yang dipercayai digunakan untuk membuat senjata api secara haram di Semanggol, tidak jauh dari Taiping.

 

Kejayaan itu dicapai, susulan penangkapan seorang pembuat senjata berusia 52 tahun di bengkel terbabit yang terletak di belakang rumahnya, di Kampung Tua, Simpang Empat, pada Ahad lalu.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Goh Kok Liang berkata, susulan penangkapan lelaki itu, polis melakukan enam serbuan dan menahan enam lelaki, termasuk seorang ketua kampung, kerana membeli senjata haram daripada lelaki berkenaan.

 

Kesemua suspek yang kebanyakannya bekerja sendiri, berusia 44 hingga 63 tahun.

 

Polis turut merampas dua senapang dan peralatan membuat senjata api daripada pembuat senjata itu, yang dipercayai menjalankan kegiatan haramnya sejak tahun lalu.

 

“Turut dirampas ialah tiga senapang patah, dua senapang angin, satu senapang patah Baretta tiruan, 125 peluru jenis 12 bore dan tujuh peluru pelbagai saiz.

 

“Serbuan yang membawa kepada penangkapan tujuh suspek itu dilakukan dalam masa tiga hari, bermula Ahad lepas di Taiping dan Kerian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak, hari ini.

 

Goh berkata, semua suspek ditahan reman empat hari, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Menurutnya, setiap senapang patah itu dipercayai dijual pada harga RM1,300, manakala suspek memilikinya untuk memburu binatang dan menjaga tanaman daripada gangguan binatang buas.

 

Tegasnya, mememiliki senjata api tanpa lesen adalah satu kesalahan serius, kerana ia boleh disalah guna dan mengakibatkan kejadian tidak diingini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.