PAS Mesyuarat Esok, Bincang Isu MB Selangor

Kuala Lumpur – Lajnah Politik PAS Pusat akan bermesyuarat esok bagi membincangkan isu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Katanya, mesyuarat akan diadakan malam esok di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Menurut Harakahdaily, keputusan mesyuarat Lajnah Politik pada kebiasaannya akan dibawa kepada mesyuarat PAS Pusat.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ditetapkan Ahad ini bagi membincangkan isu tersebut.

Semalam, setiausaha khas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan Hadi belum berhasrat membuat sebarang kenyataan berhubung isu MB Selangor, sehingga beliau menghadiri mesyuarat tersebut.

Lewat petang Isnin, Hadi mengadakan pertemuan sulit dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel dekat Kuala Ibai, Terengganu.

Pertemuan itu dipercayai gagal mencapai kata sepakat selepas tersebar melalui laman sosial menerusi aplikasi WhatsApp dengan mesej berbunyi:”Pertemuan DSAI dgn TGHH semalam hancur. Tiada kompromi” dikatakan ditulis seorang AJK PAS Pusat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Saari Sungib semalam menggesa mesyuarat dijadual 17 Ogos itu disegerakan serta pimpinan PAS menyokong DAP dan PKR menolak Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Saari ketika dihubungi berkata, langkah itu perlu bagi “menamatkan” percaturan Khalid sebelum beliau melakukan tindakan lanjut susulan pemecatan 6 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Selangor daripada PKR dan DAP.

“PAS perlu segerakan mesyuarat kerana seolah-olah akan ada keputusan besar, sedangkan kita perlu mengukuhkan hubungan dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Sebelum Barisan Nasional (BN) melakukan sebarang tindakan, lebih baik PAS segera memutuskan untuk bersama DAP dan PKR untuk mengukuhkan PR,” katanya, dan menambah, Khalid kini bukan lagi menteri besar Pakatan kerana keahliannya sudah dipecat, sekali gus keputusan PAS untuk tidak menyokongnya tidak memberikan kesan.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata Selangor kini diperintah Khalid, PAS dan BN sehingga parti Islam itu bermesyuarat Ahad ini.

Situasi ini berlaku kerana rakan komponen Pakatan iaitu PKR dan DAP sudah menyatakan pendirian mereka untuk menolak kepimpinan Khalid sebagai menteri besar Selangor.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mesyuarat-lajnah-politik-pas-esok-bincang-isu-mb-lapor-portal#sthash.9RCoTHp8.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.