Khalid Anggap Rodziah Masih Exco Yang Sah

Shah Alam – Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih mahu memberikan peluang kepada seorang lagi Exco PKR, Rodziah Ismail mentadbir Selangor jika terus menyokongnya sebagai ketua eksekutif negeri.

Khalid berkata, beliau masih menganggap Rodziah (gambar) sebagai exco yang sah dan akan menunggu pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu selepas beliau pulang daripada luar negara.

“Saya nak tunggu dia kembali dan akan buat keputusan. Jika beliau bersetuju bekerjasama dengan ahli exco yang ada sekarang khidmatnya akan diteruskan.

“Kalau tidak, dia juga akan diberikan surat penamatan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Walaupun nama Rodziah ada dalam kenyataan bersama lima lagi exco PKR dan DAP semalam yang enggan menghormati Khalid sebagai pengerusi dalam mesyuarat exco, tetapi Khalid masih menganggap Rodziah sebagai berkecuali.

“Dia dah berjumpa dengan saya beri penjelasan sebelum ke luar negara,” kata Khalid yang enggan mendedahkan butiran perbualan mereka.

Dalam Pemilihan PKR 2014, Rodziah berada dalam kem Khalid bersaing merebut jawatan Ketua Wanita PKR, menentang penyandang Zuraida Kamaruddin dari kem “Keadilan Raya” bersama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.