4 Exco PAS Akan Letak Jawatan Jika Khalid Lantik ADUN UMNO Exco

Shah Alam – Exco PAS Sallehen Mukhyi berkata, beliau serta tiga lagi anggota exco dari parti itu akan meletak jawatan sekiranya Tan Sri Khalid Ibrahim melantik anggota exco baru dari parti Umno.

Tambahnya, soal untuk memilih exco daripada Umno tidak timbul memandangkan parti itu merupakan pembangkang di Selangor.

“Soal Umno tak timbul. Tidak akan ada dalam kerajaan. Tak ada Umno. Tidak akan jadi kalau Umno ada dalam exco. PAS akan keluar.

“Umno tidak ada dalam senarai ini. Dia bukan kerajaan dan dia adalah pembangkang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Semalam kesemua exco daripada PKR dan DAP dipecat oleh Khalid kerana tidak bersetuju bersama pasukannya mentadbir negeri Selangor.

Khalid menghantar surat pemecatan kepada lima exconya, tiga daripada DAP dan dua daripada PKR. Beliau bagaimanapun belum menulis surat kepada Rodziah Ismail kerana berada di luar negeri.

Bagaimanapun kesemua exco tersebut tetap datang bertugas hari ini selepas merasakan pemecatan mereka tidak sah.

Semua Exco daripada PAS dilihat hadir pagi ini bagi menghadiri mesyuarat exco bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Azizi Shah.

Ditanya mengenai gesaan PKR dan DAP supaya exco PAS memulaukan mesyuarat exco hari ini, Ahmad Yunus berkata, beliau hadir pagi ini demi rakyat dan atas arahan parti.

“Kita ambil amanah dari rakyat dan hadir atas arahan parti,” katanya yang juga ADUN Sijangkang.

Ketika ditanya lagi, adakah beliau mengingkari arahan daripada Pakatan Yunus berkata: “Jangan tanya soalan yang provokasi, tak baik.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.