Malam Anugerah Platform Selangor 2024 (MAPS 2024) berlangsung meriah di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, Subang. Majlis yang dihadiri oleh pelbagai tetamu kehormat dan usahawan kecil ini menyaksikan ucapan perasmian oleh Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.
Dalam ucapannya, Dato’ Seri Amirudin mengimbau kembali detik getir awal pandemik COVID-19 yang melanda negara pada bulan Mac dan April 2020. Ketika itu, banyak pengusaha kecil khususnya dalam industri makanan terkesan teruk akibat perintah berkurung.
“Dengan kerjasama sektor swasta dan syarikat teknologi digitalisasi seperti Foodpanda dan Grab, Kerajaan Negeri menerusi MBI membangunkan inisiatif baharu yang dinamakan sebagai Platform Selangor atau PLATS,” katanya. PLATS diperkenalkan untuk membantu peniaga terus berniaga dengan sokongan penghantar makanan, atau lebih dikenali sebagai riders.
Dari 133 peniaga berdaftar pada permulaan, kini PLATS telah berjaya mendaftarkan lebih daripada 37,000 peniaga. Peniaga-peniaga ini bukan sahaja beralih kepada platform digital tetapi juga menerima bantuan pembiayaan, latihan keusahawanan, serta akses kepada program-program lain Kerajaan Negeri seperti HIJRAH.
Malam ini, buat julung kalinya, kita meraikan peserta-peserta U-PLATS yang berjaya menerima anugerah dalam beberapa kategori seperti Usahawan Mikro di peringkat Komuniti, Inovasi, Digital, Usahawan Muda, Usahawan Wanita, serta anugerah utama bagi prestasi paling tinggi usahawan mikro.
Dato’ Seri Amirudin menegaskan bahawa malam ini bukan sekadar penyampaian anugerah, tetapi sebagai penyuntik dorongan kepada mereka yang mempunyai hasrat untuk menjadi peniaga. “Jangan kamu menunggu lagi. Jika ada hasrat atau keinginan, tidak perlu gusar atau risau,” tambahnya.
Beliau turut menekankan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menawarkan khidmat dan nasihat serta akses kepada pengetahuan dan teknologi digital bagi manfaat para peniaga. Ini adalah sebahagian daripada misi Selangor sebagai Negeri Pintar Unggul di Asia Tenggara serta membina negeri yang makmur dan berdaya huni.
“Untuk mencapai hasrat ini, kita harus membina satu masyarakat yang bukan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kebajikan tetapi masyarakat yang yakin dan berani untuk menggarap peluang pekerjaan yang berkualiti,” kata Dato’ Seri Amirudin.
Beliau menutup ucapannya dengan ucapan tahniah kepada para penerima anugerah dan berharap semangat malam ini akan memberi dorongan untuk terus berjaya di masa hadapan. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Dato’ Seri Amirudin merasmikan Malam Anugerah Platform Selangor 2024.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Dato’ Setia Haji Haris Bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Bin Ahmad Tajuddin; YB Tuan Mohd Najwan Bin Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan; YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi Bin Ngah, EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi; Yang Berbahagia Dato’ Sri Suriani Binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP; dan Tuan Haji Ts. Saipolyazan M Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI.
