SEREMBAN: Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, penubuhan parti politik untuk masyarakat Orang Asli boleh memecah belahkan komuniti tersebut.
Tegasnya, penubuhan itu tidak sihat dan kuasa politik komuniti itu akan menguncup.
Beliau mengulas sebuah parti politik baharu untuk masyarakat Orang Asli telah diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini yang mensasarkan keahlian kira-kira 217,000 orang, lapor Utusan.
“Bagi saya (penubuhan parti politik baharu) ini adalah tidak sihat kerana ia akan menyebabkan Orang Asli berpecah belah.
“Selama ini, kira-kira 90 peratus masyarakat Orang Asli menyokong Barisan Nasional (BN) dan menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan,”
“Sama ada kita suka atau tidak, kuasa mengundi Orang Asli adalah terlalu kecil dan adalah lebih baik mereka bersama dengan parti yang lebih besar untuk sama-sama menentukan dasar yang menguntungkan masyarakat itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di sini.
Dalam pada itu, Ramli berkata pelantikannya sebagai Pengerusi Sekretariat Pembangunan Orang Asli oleh kerajaan akan membolehkan beliau merancang pelbagai aktiviti dan usaha bagi meningkatkan pencapaian komuniti berkenaan.
Tambahnya, antara tumpuan beliau ialah memastikan tidak ada lagi ketirisan berlaku dalam setiap peruntukan dan projek yang disalurkan oleh kerajaan bagi masyarakat Orang Asli.
Pada majlis tersebut, beliau berkesempatan untuk menyampaikan Bantuan Bimbingan Usahawan Tahun 2023 daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan & Melaka.
“Terima kasih diucapkan kepada YB Datuk Seri Jalaluddin Alias dan JAKOA Negeri Sembilan & Melaka kerana menjemput saya untuk bertemu dengan masyarakat Orang Asli di sana.
“Harapan saya, semoga kebajikan dan permasalahan masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan akan terus dijaga di bawah kepimpinan wakil-wakil rakyat Kerajaan Madani di negeri ini.” katanya.