KUALA LUMPUR – Pejuang menafikan sekeras-kerasnya menjalin kembali kerjasama dengan Bersatu.
Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin berkata, terdapat juga konspirasi mengenai pendaftaran parti Pejuang yang cuba disensasikan oleh beberapa pihak.
“Maka, di sini diperjelaskan bahawa pendaftaran Parti Pejuang pada 8 Julai adalah selari dengan keputusan Mahkamah yang memberi 14 hari kepada Kementerian Dalam Negeri untuk membuat keputusan kepada rayuan pendaftaran kami.
“Tiada perbincangan belakang atau pencaturan politik, keputusan ini adalah hasil keputusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Kata Ulya, terdapat beberapa cubaan dari pelbagai pihak yang cuba mencalar reputasi dan memberi persepsi seolah-olah Pejuang akan bekerjasama dengan Bersatu kembali.
Menurut beliau, tuduhan ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan merupakan berita palsu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Pejuang dengan ini menafikan sekeras-kerasnya laporan yang mengatakan bahawa parti ini akan kembali kerjasama dengan Bersatu seperti yang dimainkan.
“Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pejuang telah berkali-kali dengan tegas menolak dakwaan ini. Malah Biro Politik Pejuang juga tidak pernah berbincang mengenai
kerjasama ini dan fokus kepada perbincangan menangani COVID-19 dalam kerangka Majlis Pemulihan Negara yang dicadang oleh parti.
“Tuduhan kerjasama ini juga tidak munasabah. Andai Pejuang berniat untuk kerjasamadengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), tidak perlu pihak kami bertungkus lumus
berusaha mendapatkan kelulusan parti. Lebih baik sahaja kami kembali pada parti lama,” ujarnya.
Beliau sekali lagi dengan tegas menyatakan pendirian bahawa dakwaan Pejuang kerjasama dengan Bersatu adalah tidak benar.
“Kami fokus kepada berbincang dan cari jalan penyelesaian kepada COVID-19 dan masalah-masalah kesihatan, ekonomi serta sosial yang menjadi keutamaan rakyat Malaysia,” kata Ulya lagi.