Kerajaan Melaka Bantu Suami Isteri Gelandangan Diami Tempat Tinggal Baharu

- Advertisement -

MELAKA – Tindakan pantas kerajaan negeri Melaka berjaya menyelamatkan sepasang suami isteri dan seorang mualaf, yang hidup secara gelandangan di belakang sebuah rumah kedai di Batu Berendam di sini.

Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri Muhammad Ayyad Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, dan mendapati mereka berkongsi menjadikan tempat berkenaan yang ditutupi dengan kain selimut untuk berteduh, sejak lebih sebulan lalu.

Katanya pihak kerajaan negeri akan membantu dengan mencari penempatan lebih selesa, dan memberikan pekerjaan yang sesuai, untuk pasangan suami isteri itu yang menjalani hidup dalam keadaan sedemikian, selepas terpaksa keluar dari rumah sewa.

“Lelaki mualaf berusia 56 tahun yang tinggal bersama pasangan itu pula, diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk ditempatkan di Balai Islam Balai Panjang.

“Pihak kerajaan negeri akan sentiasa membantu mereka yang kesusahan bagi memastikan kehidupan mereka lebih terbela,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, pasangan suami isteri berkenaan Nor Hasidah Norsurah, 27, berkata beliau dan suaminya Zaini Mohd Amin, 37, terpaksa hidup dengan cara sedemikian, kerana tidak mampu membayar sewa rumah selepas mereka hilang punca pendapatan.

Katanya sebelum ini mereka tinggal di Flat Taman Merdeka Permai, namun terpaksa keluar dari rumah itu kerana bakal didiami penyewa baharu.

“Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai pembantu kedai dengan upah RM40 sehari, manakala suami yang menghidap asma dan pernah kemalangan, hanya bekerja mengutip barangan lusuh kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Memang rasa perit dan sukar kerana menjalani kehidupan sebegini, tetapi saya sangat bersyukur kerana nasib kami mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Nor Hasidah berkata dengan tempat tinggal baharu yang lebih selesa, beliau dan suaminya berharap mereka dapat membina kehidupan yang lebih baik, selain mencari pekerjaaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, mereka juga akan berpindah ke sebuah rumah sewa di Tambak Bugis, Telok Mas dan ditawarkan bekerja di kebun buah-buahan berhampiran. – Bernama

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat