KUALA LUMPUR: Seramai 204 sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam disahkan positif selepas saringan beramai-ramai dilakukan pada 10 Julai.
Perkara ini diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini hari ini.
Menurutnya, saringan COVID-19 beramai-ramai kepada petugas di IDCC dibuat sebaik sahaja pihaknya mendapat laporan mengenai dua sukarelawan yang disahkan positif.
“Ujian ini telah dijalankan pada 10 Julai melibatkan kesemua petugas. Susulan langkah ini, setakat ini, sebanyak 204 petugas telah didapati positif.
“Keputusan RT-PCR telah menunjukkan kesemua yang positif mempunyai CT (cycle threshold) lebih daripada 35, di mana mereka mempunyai ‘load’ virus yang rendah,” katanya pada satu sidang media.
Justeru, beliau menyarankan penerima vaksin yang hadir di PPV tersebut pada 9 Julai, daripada jam 4 petang, agar memantau sebarang gejala COVID-19 selama 10 hari.
Mereka yang hadir pada 10, 11 dan 12 Julai juga disarankan memantau gejala dan melakukan kawalan kendiri selama 10 hari.
-Astro Awani