Tindakan Iktiraf Sijil UEC Akan Kucar Kacirkan Sistem Pendidikan Negara – GPMS

KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan negara didakwa bakal kucar-kacir sehingga hilang hala tuju dan masa depan jika kerajaan bertegas mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa berkata, penolakan UEC bukan hanya disebabkan diurus tadbir oleh pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Dong Zong yang berketurunan Cina, sebaliknya atas beberapa faktor yang perlu dipandang serius oleh kerajaan.

Beliau berkata, antaranya, Dong Zong hanya sebuah NGO yang didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan bukannya sebuah badan berkanun seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

“Sekiranya UEC diterima dan diiktiraf oleh kerajaan, sudah pasti selepas ini mana-mana NGO boleh memperkenalkan sijil peperiksaannya sendiri dan kemudiannya kerajaan terpaksa menerima dan mengiktiraf sijil mereka untuk kemasukan ke universiti awam (UA) dan juga sektor awam.

“Selain itu, GPMS juga melihat mereka yang menduduki peperiksaan UEC majoriti adalah rakyat Malaysia.

“Jadi, sewajarnya sebagai warga negara, mereka mesti menguasai Bahasa Malaysia dan juga memiliki pemahaman yang tinggi mengenai Sejarah Malaysia kerana ia adalah teras kepada membina sebuah negara bangsa yang mempunyai perpaduan kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zambri berkata, keenganan Dong Zong sehingga ke hari ini untuk memasukkan subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah ke dalam UEC memperlihatkan NGO itu seolah-olah menafikan akan keperluan untuk rakyat bersatu padu dan saling memahami.

“Kurikulum UEC juga tidak bersandarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan soal perpaduan dan semangat patriotisme cintakan negara.

“Mereka terlalu melebihkan kurikulum yang diciplak daripada China dan Taiwan atas nama untuk menjaga budaya dan asal usul mereka,” tegasnya.

Justeru, Zambri berkata, GPMS tidak akan berganjak dengan pendiriannya menolak UEC untuk diiktiraf kemasukan ke UA malah ke sektor perjawatan awam demi kepentingan dan masa depan sistem pendidikan negara.

Jelasnya, atas nama Malaysia Baharu hari ini, Dong Zong sepatutnya lebih terbuka dan bersedia untuk membuat reformasi dan perubahan kepada sijil peperiksaan UEC.

“Dong Zong juga boleh mengikut jejak langkah sijil peperiksaan sekolah agama yang ditransformasi pada 2000 iaitu sebelum ini peperiksaan itu diurus tadbir oleh sekolah agama negeri dan kemudiannya diletakkan di bawah LPM sebelum dikenali sebagai Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Selepas diletakkan di bawah LPM, barulah STAM diiktiraf untuk kemasukan ke UA dan sektor awam,” katanya sambil menambah tidak mustahil Dong Zong boleh menyerahkan urus tadbir UEC kepada LPM tanpa menjejaskan asas UEC dan ditambah nilai mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tegasnya, jika Dong Zong benar-benar ikhlas demi masa depan Malaysia, NGO itu seharusnya berubah mengikut peredaran dan keperluan semasa dan tidak terlalu angkuh dan sombong untuk tidak menghormati sistem dan dasar pendidikan negara yang bermatlamat untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.