Persatuan Pekilang Desak PH Tunai Janji Kongsi Kos Kenaikan Gaji Minimum

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menunaikan janji pilihan rayanya untuk berkongsi kenaikan gaji minimum dengan majikan.

Pakatan Harapan sebelum ini mencadangkan satu sistem bayaran bersama yang akan membahagikan kos kenaikan gaji minimum antara kerajaan dengan majikan secara sama rata.

Ia mencadangkan kadar gaji minimum semasa tidak perlu naik dengan segera kepada RM1,500 tetapi meliputi tempoh 5 tahun dengan kenaikan pertama pada 2019.

“Bagaimanapun, hasrat menyeragamkan kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung perlu dikaji semula, berikutan kedua-dua negeri itu tidak akan dapat mengekalkan kenaikan yang ketara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, katanya, potongan untuk rumah secara bulanan yang dibenarkan bagi pekerja asing dinaikkan daripada RM50 kepada RM150.

FMM turut mencadangkan kerajaan melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat (berasaskan pasaran), termasuk melaburkan semula levi yang dikutip untuk menyokong automasi industri dan penggunaan teknologi Industri 4.0, tetapi pada masa sama, beban levi perlu dikembalikan kepada pekerja asing.

Di samping itu, definisi gaji minimum perlu dikaji semula sebagai jumlah ganjaran, iaitu gaji asas dan semua bayaran tunai tetap dan elaun ditakrifkan sebagai upah di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955.

“Kenaikan gaji minimum perlu selaras peningkatan produktiviti dengan usaha lebih baik ke arah melaksanakan sistem gaji berkaitan produktiviti.”

FMM menjadi suara bagi sektor pembuatan Malaysia sejak 1968 dan mewakili lebih 10,000 syarikat (3,000 langsung dan 7,000 tidak langsung) daripada rantaian bekalan pembuatan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.