Penyokong Indonesia Baling Batu dan Suar Selepas Malaysia Menang

Kemenangan skuad Malaysia ke atas pasukan nasional Indonesia pada aksi separuh akhir Piala AFF U-19 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo malam tadi menimbulkan rasa tidak puas hati kira-kira 26,000 penyokong tempatan.

Terikat dengan 1-1 sehingga tamat masa tambahan, kedua-dua negara beradu sepakan penalti yang membawa keputusan 3-2 memihak kepada Malaysia.

Penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati mula membaling objek ke tengah padang menyasarkan kepada pemain Malaysia.

Antara objek yang dibaling termasuk botol minuman, batu dan api suar (flare).

Penyokong Indonesia turut melemparkan kata-kata kesat terhadap pemain Malaysia.

Untuk menyelamatkan pemain Malaysia daripada dicederakan, pihak berkuasa tempatan terpaksa membentuk bumbung penghalang daripada perisai polis menuju ke bilik persalinan.

Kesemua pemain Harimau Muda termasuk jurulatihnya, Bojan Hodak terpaksa berlari dari tengah padang meluru ke bilik persalinan untuk mendapatkan perlindungan.

Bojan dipetik Harian Metro menyatakan rasa kecewanya terhadap penyokong Indonesia.

“Mereka (penyokong Indonesia) membaling botol minuman dan batu ke arah kami, mujur kami sempat lari keluar meninggalkan padang dengan segera. Kami bernasib baik tiada yang cedera.

“Saya tidak tahu sama ada pihak pengurusan (Persatuan Bolasepak Malaysia) ada membuat aduan kepada pihak tuan rumah dan AFF. Memang kecewa perkara seperti ini masih berlaku,” ujarnya.

Malaysia akan bertemu dengan Myanmar pada perlawanan akhir. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.