Kerajaan PH Guna Helah Penjimatan Tanpa Menjelaskan Saiz Projek LRT3 Sebenarnya Dikecilkan

PETALING JAYA – Shahril Hamdan membidas pengumuman tentang “penjimatan” kos pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sebagai “helah” kerana kerajaan hanya mengubahsuai beberapa pelan asal kemudahan itu dan tiada kaitan dakwaan kelemahan tadbir urus BN.

Naib ketua Pemuda Umno berkata sehingga kini masih tiada butiran jelas mengapa berlakukan kenaikan ini sama ada melalui dokumen pecahan kos terkini ataupun pencerahan melalui yang kajian yang ada dibuat.

Lebih meragukan apabila pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad tidak semena-mena mengumumkan kos LRT3 yang lebih mahal daripada kos RM10 bilion yang diketahui umum, tanpa penjelasan lanjut.

“Kerajaan memberi bayangan kenaikan ini disebabkan beberapa perkara seperti contoh kerajaan BN terdahulu tidak mendedahkan jumlah kos sebenar ataupun terdapat masalah tadbir urus bagi projek-projek ini.

“Saya mengandaikan kajian secara terperinci telahpun dijalankan. Justeru, saya menuntut agar butiran lanjut kajian tersebut didedahkan kepada umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pentadbiran Dr Mahathir berjaya mengurangkan kos pembinaan fasa ketiga LRT dari Klang ke Petaling Jaya sebanyak 47%, daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion.

Ia menyaksikan pengecilan saiz stesen, pengurangan bilangan kereta daripada 42 set kereta api 6 gerabak kepada 22 set kereta api 3 gerabak, penangguhan pembinaan 5 stesen (Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic) dan pembatalan pembinaan terowong bawah tanah sepanjang 2km di Shah Alam.

Tarikh siap projek ini juga dilanjutkan 4 tahun lagi kepada 2024. Setakat ini, tiada pengumuman mengenai nasib kontraktor-kontraktor projek LRT3.

Shahril menarik perhatian kepada langkah-langkah penjimatan yang diumumkan itu yang dicapai menerusi pengubahsuaian pelan asal.

“Ini bermakna, tiada kaitan mahupun bukti kukuh yang mengesahkan terdapat salah tadbir urus dalam pentadbiran sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, bekas menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengkritik langkah penjimatan yang diambil kerajaan dalam projek ini kerana ia hanya mengurangkan keberkesanan kemudahan itu.

Beliau mengingatkan kawasan kepadatan sederhana hari ini akan menjadi kawasan berkepadatan tinggi pada masa depan.

“Idea LRT dan Transit Aliran Massa (MRT) ialah keterhubungan. Jika mahu LRT dan MRT berjaya, kamu perlu meliputi seberapa banyak kawasan mungkin,” katanya di Twitter. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.