Belgium Buru Tempat Ketiga, Yakin Mampu Tewaskan England

THOMAS Meunier berkata menewaskan England untuk perebutan tempat ketiga malam esok kini menjadi keperluan minimum untuk Belgium dalam Piala Dunia 2018.

Skuad Roberto Martinez itu ditewaskan 1-0 oleh Perancis dalam separuh akhir di St Petersburg menerusi tandukan Samuel Umtiti yang menjadi pemisah kepada pertembungan sengit itu.

Ini bermakna kekecewaan “generasi keemasan” Belgium di peringkat terbesar berterusan selepas mereka terkandas dalam suku akhir edisi 2014 kepada Argentina dan di peringkat yang sama dalam Euro 2016 kepada Wales.

Ini merupakan kali kedua Belgium terbabit dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia, yang pertama berakhir dengan kekalahan 2-4 kepada Perancis pada 1986, oleh itu kali ini Meunier berhajat untuk mengatasi England, yang dikalahkan 1-0 di peringkat kumpulan.

“Kami menewaskan England di peringkat kumpulan, jadi kami boleh mengalahkan mereka lagi,” kata pemain pertahanan itu dalam sidang akhbar.

“Kemenangan bukan satu kewajipan tetapi kami mahukannya. Tempat ketiga adalah minimum, ia bukan satu pembaziran masa, ia satu perlawanan yang kami mahu beraksi.”

England mengalami kekecewaan di tangan Croatia dalam aksi separuh akhir dengan gol sumbangan Ivan Perisic dan Mario Mandzukic, yang memadam jaringan pembukaan Kieran Trippier di Stadium Luzhniki, awal pagi semalam.

The Three Lions tewas dalam separuh akhir melalui penentuan sepakan penalti kepada Jerman Barat pada 1990, kemudian tumbang 1-2 kepada tuan rumah, Itali, dalam penentuan tempat ketiga.

Pemain pertahanan, Gary Cahill, mengakui ia adalah perlawanan aneh yang harus dimainkan, yang dilangsungkan di sebalik kekecewaan di Moscow.

Begitupun, dia berharap kemenangan akan membantu menggalakkan aura lebih positif
terhadap barisan kendalian Gareth Southgate itu.

“Ini adalah satu perlawanan yang sangat pelik kerana ia adalah satu perlawanan untuk dua pasukan yang mengalami kekecewaan tetapi permainan sudah diaturkan dan kami perlu beraksi,” kata tonggak Chelsea tersebut.

“Kami hanya gagal dalam rintangan kedua terakhir, namun sebagai satu pasukan, kami harus bangga dengan diri sendiri dan bagi saya, melihat skuad muda ini, kami semestinya berasa positif mengenai masa depan.”

PEMAIN TUMPUAN

Belgium: Romelu Lukaku

Penghalang terbesar dalam usaha calon Kasut Emas, Harry Kane. Lukaku sedang berusaha untuk mengakhiri kemarau tiga perlawanan tanpa gol bersama Belgium. Dia masak dengan pertahanan England ketika beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan akan menawarkan ujian yang jelas dan pantas ke atas kubu lawan yang mengharungi 120 minit permainan dalam aksi separuh akhir dan kekurangan rehat sehari.

England: Harry Kane

Dia menempuhi tempoh sukar ketika menentang Croatia dan gagal melakukan percubaan tepat dalam tempoh empat setengah jam. Namun, Kane masih mengetuai perlumbaan Kasut Emas. Mencetak nama selaku penjaring akan mencerahkan peluangnya manakala ledakan hatrik akan membawanya kepada sembilan gol, koleksi gol terbaik yang dirakamkan dalam Piala Dunia sejak 1970. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.