52 Peratus Tolak Pengiktirafan Sijil UEC Sekolah Cina

KUALA LUMPUR – Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang diguna pakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) terus menjadi polemik. Dalam satu undian dalam talian sejumlah 52 peratus menolak pengiktirafan terhadap sijil peperiksaan tersebut terutama sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.

Dalam pungutan suara di pautan https://www.pendidik2u.my sejak 8 Julai sehingga pukul 10.30 pagi tadi pungutan suara undi mendapat 100,272 undian dengan 52,572 menolak pengiktiran UEC manakala 47,702 mahu ia dilaksanakan.

Antara alasan pengundi yang menolak UEC mendakwa sistem peperiksaan itu akan melebarkan jurang perkauman antara rakyat.

“Tidak perlu. Ia akan menambahkan ras perkauman yang rasis dalam sistem pendidikan negara,” kata Mohd Aimi Syakir Mohd Sukeri.

“UEC tidak wajar disokong. UEC itu sendiri bersifat perkauman. Hanya memberi kelebihan kepada satu-satu bangsa sahaja. Bagaimana jika semua kaum d Malysia menuntut untuk mempunyai sistem pendidikan dan menggunakan bahasa mereka sendiri? Ke manakah hala tuju negara kita. Kalau dahulu kita dipisahkan oleh politik perkauman, sekarang kita tambah lagi dgn pendidikan berlainan mengikut kaum, apa seterusnya?” tanya Abdul Rahman Bujanh.

“Tak perlu iktiraf. Kementerian Pendidikan perlu lihat isi UEC kaji ambil isi yg elok serapkan kedalam sistem Malasia utk mantapkn mutu pendidikan Malaysia. Kalau iktiraf akan jauh lagi perbezaan pendidikan,” tegas Ahmad Helmi Abdul Kadir.

Sementara yang menyokong UEC diiktiraf pula berkata, Perlembagaan negara memberikan hak dan kebebasan semua kaum untuk belajar bahasa ibunda masing-masing dah kerajaan perlu laksanakan manifesto yang dijanjikan.

“Ia terkandung dalam manifesto. Kerajaan perlu melaksanakannya walau apapun respon daripada rakyat. Pengiktirafan UEC tidak akan menjejaskan mereka yang mengambil SPM. Kerajaan perlu kekal dengan janji mereka,” kata Glory Tan.

“Mestilah diiktiraf sebab UEC bukan berkaitan dengan kaum, tetapi ia adalah pengiktirafan yang bermutu antarabangsa,” kata Stephanie Lam.

“Sokong sepenuhnya. Perlembagaan negara ini memberikan hak dan kebebasan kepada semua kaum untuk belajar bahasa ibunda masing-masing. Pelajar sekolah Cina diseru untuk menguasai bahasa kebangsaan supaya berkomunikasi di antara warganegara secara berkesan,” kata Hamba Tuhan.

Semalam Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menegaskan kerajaan akan tetap meneruskan rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selaras dengan manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Dr. Maszlee Malik, pihaknya tidak akan membuat pusingan U atau dilihat ‘flip-flop’ dalam perkara itu.

Pengumuman kerajaan negeri Melaka pada 2 Julai lalu yang mengiktiraf UEC sebagai syarat kelayakan membolehkan memasuki perkhid­matan awam negeri itu telah mencetuskan bantahan pelbagai pihak di negara ini.

Selain itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini menyatakan, isu berkaitan pengiktirafan UEC perlu diselesaikan secepat mungkin supaya pemegang sijil berkenaan dibenarkan memasuki perkhidmatan awam.

Segelintir pihak menolak pengiktirafan UEC. Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong misalnya berkata, tuntutan berkenaan sepatutnya tidak dilayan sejak dulu, bagi menamatkannya lebih awal.

Katanya, kini ia menjadi barah kerana gagal dirawat sejak awal dan seolah-olah segala masalah ditimbulkan kerajaan sekarang, sedangkan ia bermula sejak kerajaan terdahulu.

Untuk rekod, sekolah persendirian Cina yang menganjurkan UEC tidak menerima dana daripada kerajaan. Dalam skop pengajaran, bahasa Mandarin menjadi medium pengajaran dengan penekanan kepada subjek-subjek di bawah UEC dan hanya satu subjek Bahasa Melayu disertakan sebagai memenuhi syarat ditetapkan kerajaan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.