Watak Aladdin Masih Kosong, Netizen Cadang Zayn Malik

Disney dilaporkan masih gagal mencari aktor yang sesuai untuk membawakan watak Aladdin dalam filem ‘live-action’ terbaharu terbitan produksi itu.

Menurut Portal Teen Vogue, lebih 2,000 pelakon lelaki berdarah keturunan Arab dan India hadir untuk sesi uji bakat yang berlangsung sejak Mac, namun tiada yang mampu menambat hati pengarah filem berkenaan, Guy Ritchie.

Masalah itu telah menyebabkan penggambaran filem berkenaan yang sepatutnya bermula bulan ini ditunda ke Ogos.

Bagi watak heroin pula, Ritchie dikatakan sedang menimbang tiga nama iaitu Naomi Scott, Tara Sutaria dan anggota kumpulan Little Mix, Jade Thirlwall, untuk memegang watak Jasmine, lapor Awani.

Bagaimanapun, keputusan belum boleh dibuat selagi pelakon yang membawa watak Aladdin tidak diketahui.

Sehubungan itu, beberapa ejen pelakon mendedahkan pihak produksi dan pengarah Aladdin melakukan pemilihan yang ketat, dengan pelakon diminta melalui beberapa peringkat uji bakat selama beberapa minggu dalam sesi uji bakat yang dilakukan di beberapa bandar besar itu.

Disney dilapor mengutamakan bakat baharu sebagai Aladdin, biarpun sebelum ini pernah menyuarakan minat untuk mendapatkan sama ada Riz Ahmed atau Dev Patel sebagai Aladdin.

Manakala netizen pula mencadangkan bekas anggota One Direction, Zayn Malik sebagai Aladdin.

Mereka merasakan Zayn cukup sesuai kerana artis berdarah Pakistan itu bukan sahaja boleh menyanyi dan menari, tetapi juga memiliki ‘wajah’ yang sesuai.

Disney sebelum ini mengumumkan pencarian watak Aladdin di seluruh dunia, dengan syarat utama adalah berusia 18-25 tahun, boleh menari dan menyanyi serta memiliki ‘wajah Timur Tengah’.

Situasi ini bagaimanapun bukanlah kali pertama berlaku. Sebelum ini, Disney berdepan kesukaran mencari pelakon sesuai untuk membawa watak Cinderella, yang akhirnya menjadi milik Lily James dalam filem ‘live -action’ yang diterbitkan pada 2015 itu.

Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman siapa yang akan membawakan watak Genie dan Jafar, namun beberapa portal gosip antarabangsa melaporkan Will Smith dan Tom Hardy antara yang sedang dipertimbangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.