Tiz Zaqiah Lebih Selesa Solo

KUALA LUMPUR – Hampir setahun sepi tanpa cinta, bagi pelakon Tiz Zaqyah dia sebenarnya lebih senang untuk tidak berada dalam mana-mana hubungan kini.

Menolak dia masih belum mampu untuk melupakan kisah cinta terdahulunya, kata Tiz, 29, dia seorang yang positif dalam soal ini dan yakin dengan jodoh.

“Saya masih lagi solo, kalau ikutkan ini kali pertama saya solo terlalu lama. Saya tidak ada masalah dengan kekasih lama kerana kami masih berkawan tetapi saya selesa solo.

“Tidak dinafikan saya seorang yang setia tetapi bukan bermakna saya masih belum boleh melupakan kisah lama. Jujurnya kehidupan solo kini lebih senang dan tidak pening kepala,” katanya.

Jelas Tiz, ketika ini fokusnya hanya untuk kerjaya dan dalam masa sama yakin dengan ketentuan jodoh buat dirinya.

“Memang dalam umur saya kini banyak yang bertanya soal jodoh tetapi ini tidak akan memberi tekanan buat saya. Lagi pun dalam waktu sekarang ramai sahaja wanita yang lambat berkahwin.

“Sebenarnya perubahan umur tidak sahaja mengubah saya dari segi fizikal tetapi juga cara berfikir. Jika dahulu saya mudah berkongsi kisah cinta tetapi kebelakangan ini tidak lagi sebab saya lebih senang berahsia,” jelasnya.

Sementara itu bercerita tentang karier lakonannya, Tiz mengakui dia sedikit memilih dalam memastikan kepuasan dalam berlakon dapat dicapai.

“Memang saya akui lama tidak kelihatan di televisyen tetapi itu bukan bermakna saya tidak bekerja. Sebenarnya saya baharu sahaja selesai penggambaran projek merdeka.

“Ada sahaja tawaran lakonan yang terpaksa saya tolak, Bukan apa saya lebih suka memberi fokus dalam setiap kerja yang saya lakukan,” jelasnya.

Bakal muncul dengan filem Memori Pajeri Nenas, Tiz berkata, dia tertarik dengan jalan cerita yang berbeza berbanding drama dan filem yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Ini apa yang berlaku dalam rumah tangga kini, Sebab itu saya menerima tawaran untuk berlakon dalam filem ini.

“Ini juga kali pertama saya dapat berlakon dengan Alif Satar dan dia memang seorang pelakon yang sangat bagus dan baik,” kongsinya.

Memori Pajeri Nenas boleh ditonton menerusi tempahan di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 20 Julai depan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.