Suami Isteri Telefon JAWI Lapor Kes Khalwat Kemudian Kemuka Saman – Peguam Syarie

Sepasang suami isteri yang mengemukakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana menyerbu masuk premis sebelum mereka lengkap berpakaian dikatakan menelefon sendiri JAWI mengadukan kejadian khalwat tersebut.

Peguam Syarie, Mohd Iz’aan Azalan daripada Persatuan Peguam Muslim Malaysia berkata, pasangan berkenaan mengaku berbuat demikian dihadapan hakim Mahkamah Syariah Shah Alam.

“Dalam pertuduhan yang dibacakan, pasangan ini telah melakukan kesalahan tersebut kerana telah membuat panggilan ke talian hotline JAWI dan membuat aduan tentang wujudnya pasangan yang sedang berkhalwat sedangkan pasangan yang diadu itu adalah pasangan tersebut sendiri.

“Dengan kata yang lain, buat laporan palsu tentang berlakunya jenayah khalwat,” ujarnya yang berada mahkamah sama membicarakan kes pasangan berkenaan.

Pasangan tersebut, Mohd Ridhuan Giman, 34, dan Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, dilaporkan telah menyaman JAWI kerana menyalahgunakan kuasa dengan menceroboh hotel murah didiami mereka pada jam 1.30 pagi, 8 Januari lalu.

Ridhuan memaklumkan isterinya tidak berpakaian lengkap sebelum anggota JAWI menyerbu masuk ke dalam bilik hotel mereka lantas berlaku pergelutan antara beliau dan pegawai JAWI tersebut.

Ridhuan dan Siti Sarah kemudian memfailkan saman kepada JAWI pada 17 Februari kerana tangkapan salah dan pencerobohan privasi, mendakwa mereka sudah menunjukkan foto sijil perkahwinan kepada penguat kuasa.

Kedua-dua mereka dibicarakan seksyen 7(c) Akta Kesalahan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana memburukkan imej JAWI.

“Mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain – (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” tulis Iz’aan di Facebook.

Walaubagaimanapun, jelasnya, perbicaraan masih berjalan dan seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Kita perlu hormat kepada proses undang-undang yang sedang berlangsung.

“Apapun semoga keputusan Mahkamah berpihak kepada yang pihak yang benar,” ujarnya lagi. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.