Kes MISDEC: SPRM Rakam Percakapan 5 Individu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan lima individu berhubung siasatan melibatkan dua beranak yang juga pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) yang disyaki memindahkan RM4 juta wang pusat itu ke akaun syarikat milik mereka.

Menurut sumber SPRM, antara yang dipanggil memberi keterangan ialah anggota lembaga pengarah MISDEC, pegawai Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dan saksi dalam kalangan orang awam.

“Dijangkakan lebih ramai saksi akan dipanggil untuk memperoleh maklumat bagi membantu siasatan.

“SPRM juga menyiasat sama ada terdapat orang dalam lain yang turut terlibat dalam kes penyelewengan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sumber itu berkata menerusi maklumat awal yang diperoleh pasukan penyiasat, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah membatalkan pendaftaran MISDEC kerana gagal menghantar minit mesyuarat selama lapan tahun kepada ROS.

“SPRM kini dalam proses untuk meneliti segala maklumat dan dokumen yang diperoleh bagi mendapatkan segala maklumat yang dapat membantu melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, kedua-dua suspek berusia 76 dan 43 tahun yang ditahan kelmarin direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM 10,000 mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.