‘Kau Anak Jurulatih, Tapi Kau Bikin Malu’

KUALA LUMPUR – “Saya pernah ditampar, ditarik telinga, dimaki depan kawan-kawan oleh ayah kandung saya sendiri, tapi saya jadikan itu sebagai sesuatu yang positif untuk saya berjaya,” itu pengakuan legenda basikal trek negara, Rosman Alwi

Walaupun anak kepada jurulatih basikal kebangsaan, Alwi Ahmad, itu menganggap memori itu sedikit mencalit rasa duka dalam lipatan kejayaannya, namun Juara Pecut Asia yang merangkul gelaran itu pada 1987 tidak pernah mengalah walau sedetik.

Menggamit kisah itu, Rosman yang menerima jolokan ‘The Turtle Head’ berkata tekanan yang diberikan bapanya itu berpunca kegagalannya sendiri untuk meletakkan diri setanding dengan atlet berbasikal trek yang lain.

“Kejadian itu berlaku sewaktu saya dan kawan-kawan lain sedang menjalani latihan. Kemudian bapa saya cakap: ‘Orang lain boleh, kau tak boleh. Kau bikin malu, kau anak jurulatih, kalau kau tak boleh (bersaing), pergi balik’.

Imbas Rosman, bapanya berkata lagi: ‘Jangan berlatih kalau nak bermain macam ini. Bermain basikal ini bukannya senang tau. Bukan guna mesin, tetapi tenaga kau. Kalau kau nak buangkan tenaga kau atau sia-siakan masa atau sengaja sakitkan badan, baik kau berhenti saja!’

Biarpun pedih mendengarnya, kata-kata itu sebenarnya membuatkan Rosman lebih merindui allahyarham bapanya yang pergi menemui Ilahi tujuh tahun lalu.

Katanya, bergelar anak kepada jurulatih basikal kebangsaan bukan mudah terutama apabila hampir setiap masa bersama bapanya terutama sejak memulakan karier pada umur belasan tahun.

“Pada mulanya saya kecewa sebab saya tidak pernah kena marah depan kawan. Bila saya kena macam itu depan kawan-kawan saya rasa nak tumbuk pun ada. Tapi bila fikir semula, saya tidak boleh buat macam itu.

“Saya berlatih semula sampai saya pengsan, baru dia (ayah) datang…apabila dia risau, dia tidak akan terlalu paksa saya. Dia sebagai jurulatih memang sangat serius tetapi lepas latihan, semua atlet berkumpul macam anak dia. Rumah ini jadi tempat makan minum, tempat berkumpul atlet kebangsaan yang berlatih dengan dia.

“Itu yang saya betul-betul hormat dan sehingga saya sambung legasi dia sampai hari ini,” ujar Rosman yang menyifatkan ketepatan masa menjadi disiplin utama bapanya sebagai jurulatih.

Jaguh pecut itu juga pernah berdepan skandal dadah apabila gagal ujian saringan air kencing pada Sukan SEA 1981 di Manila yang menyebabkan dia dikenakan hukuman penggantungan dua tahun.

Namun, beliau kembali ke pentas antarabangsa dengan meraih gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia di Bangkok pada 1983.

Kemuncak karier Rosman adalah pada 1985 dan 1987 apabila berjaya meraih dua emas beserta dua rekod Sukan SEA sekali gus menebus kekecewaan pada 1981.

Pada usia 40, Rosman bertanding pada Sukan SEA terakhirnya di Kuala Lumpur pada 2001 sebelum mengumumkan persaraan sukan yang begitu dicintainya setahun kemudian. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.