Identiti Pemandu Rentung Dalam Kemalangan Di PLUS Dikenal Pasti

TAPAH – Pemandu PROTON Iswara yang rentung dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 321.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, awal pagi tadi dikenal pasti sebagai Lim Chin Teck.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, kereta dipandu mangsa berusia 26 tahun itu terbabas sebelum dirempuh sebuah Toyota Estima, menyebabkan pemandu PROTON Iswara rentung selepas kedua-dua kenderaan berkenaan terbakar.

Tiga mangsa berusia 14 hingga 53 tahun dalam Toyota Estima tidak cedera. Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata pemandu PROTON Iswara meninggal dunia di lokasi kejadian selepas 50 peratus tubuhnya terbakar.

Katanya, siasatan awal polis mendapati mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Taiping manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah sama menuju ke Bagan Serai.

“Pemandu PROTON Iswara dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di lorong kecemasan dan memasuki lorong kanan.

“Toyota Estima yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa.

“Kedua-dua kenderaan terseret 100 meter sebelum terbakar, menyebabkan pemandu PROTON Iswara yang tersepit rentung manakala tiga mangsa menaiki Toyota Estima sempat keluar,” katanya di sini, hari ini.

Som Sak berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, mangsa yang menaiki MPV pula tidak cedera namun tetap dibawa ke Hospital Kampar dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.