Ceroboh Gudang Simpan Kenderaan, Polis Buka Kertas Siasatan

Polis Selangor membuka satu kertas siasatan berhubung isu pencerobohan sebuah gudang menyimpan kenderaan di Kajang yang tular di media sosial sejak tiga hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan malah menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan membelakangkan undang-undang.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis ada menerima laporan daripada seorang eksekutif lelaki yang bekerja di syarikat terbabit mengatakan stor syarikat itu di Jalan Cheras, Kajang diceroboh sekumpulan lelaki Isnin lepas.

Katanya menurut laporan polis itu, tindakan kumpulan berkenaan adalah untuk mengambil kenderaan yang disimpan di dalam stor terbabit.

Sehubungan itu, Ab Rashid memberi jaminan satu siasatan menyeluruh mengikut undang-undang sedia ada akan dijalankan tanpa melindungi atau menyebelahi mana-mana individu yang terlibat.

 

Dalam video yang tular di media sosial itu, beberapa individu memasuki pusat pameran kereta milik sebuah syarikat pajakan kenderaan di Sri Kembangan.

Dalam laporan akhbar semalam, ‘serbuan’ itu dilakukan berikutan syarikat itu didakwa telah menipu 500 individu yang menjadi pelanggannya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.