Lebih Baik Tumpu PRU14 Daripada Pilihan Raya Negeri – PAS

SHAH ALAM – PAS hari ini mengesa bekas rakan tahaluf siyasinya DAP agar bersabar dan menunggu Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) untuk membuktikan sokongan pengundi terhadap pemimpin mereka yang kini dilanda krisis rasuah.

 

Naib Presidennya Idris Ahmad berkata, adalah lebih baik pembangkang memberi tumpuan kepada PRU14 selepas mengalami dua kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

 

“Sekarang kita kena tumpu kepada PRU14 akan datang, dan kalau nak buat satu pilihanraya akan makan masa yang panjang dan perbelanjaan yang banyak.

 

“Kita yakin BN pula akan gunakan peruntukan untuk tumpukan bagi memancing undi di Pulau Pinang sedangkan di (PRN) Sawarak dan (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pun belum tertunai (manifesto), biar BN selesaikan dahulu,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

 

Sebelum ini Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata DAP Pulau Pinang sedang menimbang sama ada akan mengadakan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan sebagai tanda protes kepada pertuduhan rasuah yang difailkan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

 

Bagaimanapun, parti itu belum mengadakan sebarang perbincangan di peringkat pusat dan merupakan satu pilihan yang belum pasti dilaksanakan.

 

Ditanya reaksi PAS untuk meletakkan calon jika pilihan raya berkenaan berlangsung, Idris berkata setakat ini tiada perbincangan mengenainya namun tidak menolak untuk turut bertanding.

 

“Kita (PAS Pusat) belum bincang lagi (mengenai cadangan DAP adakan PRN Pulau Pinang), mereka (PAS Pusat) pun belum maklum kepada kita (pendirian mengenai PRN Pulau Pinang).

 

“Kita kalau ada pilihanraya, kita akan bertanding. Tapi setakat hari ini kita tidak bincang lagi (mengenai cadangan DAP) tapi kita tetap akan bertanding,” katanya.

 

DAP kini sedang berkira-kira untuk mengadakan pilihan raya mengejut bagi menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

 

Ia ekoran Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas dua pertuduhan iaitu salah guna kuasa, dan perolehan harta di bawah nilai pasaran bagi seunit kediaman di Jalan Pinhorn, George Town 30 Jun lalu.

 

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 (berkaitan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran).

 

Bagaimanapun Guan Eng mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan berkenaan dan beliau dibenar ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.