JDT Sekadar Seri Dengan PKNS FC, Adam Wira Selangor

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) sekadar seri 2-2 dengan PKNS FC dalam aksi sulung Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

 

JDT mendahului 2-0 menerusi penyerang, Safee Sali, yang membuka tirai jaringan pada minit ke-48 sebelum Juan Martin Lucero menambah gol kedua minit ke-57.

 

Namun, PKNS yang tewas kepada JDT dalam aksi final Piala FA kembali bangkit menerusi dua gol dalam tempoh enam minit menerusi Gabriel Guerra pada minit ke-83 dan Juan Manuel Cobelli, yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89.

 

Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, JDT II kembali bangkit selepas ketinggalan dua gol apabila berjaya mengikat Terengganu FC (TFC) II seri 2-2 dalam aksi Kumpulan A.

 

TFC II mendahului dengan dua gol menerusi jaringan Dilshod Sharofetdinov pada minit kelima dan Mohd Nor Hakim Hassan minit ke-16.

 

JDT II kembali bangkit di babak kedua apabila Zaquan Adha Abdul Razak dan Paulo Rangel masing-masing meledak satu gol minit ke-46 dan 50.

 

Di Stadium Shah Alam, juara bertahan, Selangor mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur menerusi jaringan Adam Nor Azlin pada minit ke-87 dalam aksi Kumpulan B.

 

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, yang menyaksikan satu lagi aksi Kumpulan B, Kelantan mencatat kemenangan tipis ke atas Pahang 1-0 menerusi jaringan Wan Zaharul Nizam Zakaria pada minit ketiga.

 

Di Stadium Hang Jebat, Melaka mengejutkan Terengganu 2-1 hasil jaringan IIja Spasojevic, yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54 sebelum R Surendran menambah gol kedua empat minit kemudian.

 

Walaupun Terengganu cuba bangkit dan meraih satu gol hasil jaringan Bogdan Milic minit ke-74, ia sudah terlambat bagi menyekat kemenangan Melaka United untuk mengutip tiga mata dalam aksi pertama Kumpulan D.

 

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Felda United turut mengutip tiga mata untuk aksi sulung Kumpulan D apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan, hasil jaringan Christie Jayaseelan pada minit ke-27 dan dua gol daripada Francis Forkey Doe (54 dan 71).

 

Satu gol Negeri Sembilan diraih menerusi Annas Rahmat pada minit ke-64. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.