DAP Didesak Gantung Keahlian Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming terus menerima kecaman daripada pengguna Facebook apabila mereka mendesak DAP mengambil tindakan terhadap pemimpin tersebut.

 

Seorang pengguna Facebook, Padzli Yazit berkata, DAP perlu menggantung keahlian Kor Ming jika beliau masih enggan meminta maaf secara terbuka terhadap tindakan biadabnya memuat naik gambar serta karikatur menghina umat Islam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

“DAP perlu memberi amaran kepadanya dan jika Kor Ming masih enggan meminta maaf, beliau perlu dipecat daripada parti. Malah, seluruh rakyat Malaysia diingatkan agar tidak lagi menyokong Kor Ming kerana beliau telah melakukan perkara sama beberapa kali sebelum ini,” katanya.

 

Sementara itu, pandangan yang sama turut dilontarkan akaun Facebook milik Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling yang mencabar DAP menggantung keahlian Kor Ming kerana tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

 

“Dalam masa sehari Kor Ming tukar kenyataan menafikan memuat naik gambar, dan kemudian akaun Facebooknya telah tidak aktif. Sudah ‘kantoi’ menipu pun masih tidak mahu minta maaf.

 

“Jadi, kalau DAP benar-benar hormat agama Islam, parti itu sepatutnya menggantung keahlian atau membuang Kor Ming kerana tidak menjaga sensitiviti umat Islam,” katanya.

 

Bagi seorang lagi pengguna Facebook, Tan Khai Beng pula, dia menganggap alasan Kor Ming bahawa akaun Facebooknya telah digodam adalah satu alasan yang bodoh.

 

“Satu alasan yang bodoh..digodam… Anda tidak boleh menipu rakyat pada setiap masa,” katanya.

 

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna laman sosial berkenaan, Teukuhamzah Fansuribinsabri pula mengingatkan Kor Ming agar tidak bertindak melampau dalam mengejar populariti.

 

“Apa motif Kor Ming yang saban tahun tidak serik-serik bikin kontroversi. Mahu bergaduh dengan kaum lainkah kamu. Cukup-cukup­lah Kor Ming dengan lakonan dan sandiwara kamu,” tegasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.