Raja Permaisuri Agong 
Sampaikan Sumbangan YAYSH

BAGAN SERAI – Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Ha­minah hari ini berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan kepada 350 anak yatim, ibu serta bapa tunggal, warga emas, fakir miskin dan orang kelainan upaya (OKU) bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

 

Sumbangan daripada Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) itu berupa wang tunai, baju Melayu, kain pelekat, kain ela, barangan makanan dan hamper disampaikan kepada penerima dari sekitar daerah Bagan Serai yang di­pilih oleh Pejabat Daerah.

 

Ahli Lembaga Pengarah YAYSH, Datuk Seri Norazam Ibrahim berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan cerminan kepada kelembutan Raja Permasuri Agong yang peka dengan perkembangan semasa terutamanya berkaitan golongan yatim.

 

‘‘Kesemua anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal yang menerima sumbangan pada hari ini telah dipilih oleh Pejabat Daerah Bagan Serai. Anak-anak yatim yang menerima sumba­ngan ini juga dipilih dalam kalangan yang menumpang atau menetap bersama saudara dan sebagainya.

 

‘‘Kami tidak mengambil anak-anak yatim di rumah anak yatim kerana sudah banyak yayasan yang memberi sumbangan. Kami mahu memberi peluang kepada anak yatim yang menumpang, hanya dijaga saudara mara tanpa jagaan rumah anak yatim atau seumpamanya,’’ katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri YAYSH di Dewan Komuniti Bagan Serai di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Orang Besar Jajahan Daerah Kerian, Datuk Meor Redwan Mahyudin.

 

Menurut Norazam, sebelum ini, YAYSH telah menganjurkan majlis kurniaan sumbangan kepada 700 anak-anak yatim di seluruh negeri Kedah.

 

Katanya, yayasan itu juga memberi sumbangan pada waktu cuti sekolah dengan membantu dari segi sumbangan pakaian sekolah dan sebagainya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!