Polis Thailand Sahkan Pertemuan Sulit Xavier Justo

KUALA LUMPUR – Polis Thailand hari ini mendapat pengesahan daripada Pengarah Kerjasama Antarabangsa Polis Singapura bahawa wujud pertemuan sulit antara bekas pegawai PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Xavier Andre Justo dengan beberapa pemimpin pembangkang dan pemilik kumpulan media.

 

Menurut sumber, pertemuan sulit antara semua individu terbabit diadakan di Hotel Fullerton, Singapura.

 

“Polis Thailand telah mendapat pengesahan sememangnya wujud pertemuan sulit antara Xavier Justo dan beberapa individu merupakan pemimpin pembangkang dan pemilik kumpulan media.

 

“Malah, Polis Thailand juga mengakui bahawa mereka semua terlibat dalam jenayah mencuri, memalsu dan mengubahsuai dokumen PetroSaudi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

 

Xavier Justo, 49, ditahan Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Thailand di pulau peranginan terkenal Koh Samui, Surathani pada 22 Jun lalu.

 

Penahanan warga Switzerland itu dibuat selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut yang membabitkan wang 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta) dan mengancam mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya daripada syarikat itu sekiranya permintaannya tidak dipenuhi.

 

Berikutan daripada cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen telah disiarkan oleh blog Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB).

 

PetroSaudi menjadi terkenal di negara ini berikutan kerjasama yang pernah terjalin dengan 1MDB. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.