Plaza Low Yat Lengang Selepas Rusuhan Semalam

KUALA LUMPUR – Suasana di Plaza Low Yat di sini, lengang apabila lebih 80 peratus premis menutup operasi susulan rusuhan malam tadi.

 

Tinjauan BH mendapati, premis yang kebiasaannya dikunjungi ribuan pelanggan untuk mendapatkan peralatan elektronik dan gajet suram berikutan keputusan peniaga yang sepakat untuk tidak membuka kedai kerana bimbang insiden rusuhan berulang.

 

Pemilik kedai menjual kamera yang dikenali sebagai Emily, 30-an berkata langkah itu diambil kerana bimbang dengan ancaman keselamatan walaupun keadaan hingga kini dilihat masih terkawal.

 

“Insiden (rusuhan) semalam memang banyak beri kesan terhadap perniagaan kami di sini. Sudahlah keadaan ekonomi tidak menentu, sekarang terpaksa pula tanggung kerugian berikutan kejadian terbabit.

 

“Bukan saja peniaga, pelanggan pun sudah takut untuk memasuki premis ini kerana bimbang ada lagi rusuhan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

 

Pada masa sama, dia turut meluahkan rasa kesal dengan kejadian itu sehingga mencetuskan isu perkauman yang dilihat boleh mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman yang dikecapi negara selama ini.

 

“Apa yang berlaku tidak mendatangkan apa-apa faedah, sebaliknya hanya menambahkan kebencian saja dalam kalangan kaum dan situasi sedemikian bukan sesuatu yang kita mahu.

 

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersatu padu bukan bergaduh antara kaum,” katanya.

 

Sementara itu, seorang lagi peniaga komputer riba yang hanya mahu dikenali sebagai Amirul, 24, berkata insiden Sabtu lalu dan semalam menjejaskan perniagaannya apabila terpaksa menanggung kerugian hingga RM3,000 sehari kerana tidak dapat beroperasi, selain kehilangan ramai pelanggan.

 

“Semalam (Ahad) saya terpaksa tutup kedai awal, jam 9.30 selepas berlaku kekecohan oleh kumpulan individu yang berkumpul di dalam bangunan ini.

 

“Hari ini saya datang buka kedai seperti biasa, tetapi disebabkan ramai peniaga yang mahu tutup (kedai) saya pun terpaksa ambil tindakan sama,” katanya.

 

Tambah Amirul, penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial sejak hari kejadian mengeruhkan lagi keadaan sehingga mencetuskan isu perkauman.

 

Katanya, apa yang berlaku Sabtu lalu bukan seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya berpunca daripada tindakan seorang lelaki yang didakwa mencuri telefon bimbit di sebuah kedai di situ.

 

“Sebelum ini, hubungan kami peniaga Melayu dengan Cina akrab, tiada permusuhan malah kami saling bantu-membantu dalam perniagaan.

 

“Saya berharap situasi ini tidak berterusan supaya kami dapat beroperasi seperti sedia kala,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.