PasMa Gesa PAS tarik Diri Dari Pentadbiran Kerajaan Selangor

KOTA BHARU – Selaras dengan keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama yang menolak tahaluf siyasi dengan DAP kelmarin, Pas juga dinasihatkan untuk menarik diri daripada pentadbiran kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

 

Naib Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, langkah ini adalah kerana yang tinggal kini hanyalah kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor yang ditubuhkan atas semangat PR.

 

“Pakatan Rakyat diwujudkan atas persefahaman antara Pas, DAP dan PKR. Bila Pas secara rasminya memutuskan hubungan dengan DAP, maka secara langsung akan menyebabkan hubungan Pas dengan PKR juga telah terputus dengan sendiri kerana PR tidak lagi wujud. Sebab itulah keputusan untuk menarik diri juga perlu dibuat Pas,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

 

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Syura Ulama Pas terhadap status hubungan parti itu dengan DAP yang diputuskan kelmarin.

 

Menurutnya, jika Pas berhasrat untuk menjalinkan kerjasama hanya dengan PKR, maka terserah kepada kedua-dua parti tersebut untuk memutuskannya, tetapi sebelum itu kerajaan Selangor perlu disusun semula mengikut persefahaman politik baru.

 

Beliau berkata, sama ada persefahaman tersebut melibatkan gabungan Pas dan PKR serta beberapa adun lain bagi mencukupkan majoriti mudah yang diperlukan, atau PKR memilih untuk membentuk kabinet baru kerajaan Selangor bersama DAP.

 

“Ini kerana tidak ada mana-mana parti yang menguasai majoriti mudah di Selangor, terserah kepada adun Pas sama ada mereka ingin menjadi pembangkang bersama BN atau memilih untuk membentuk gabungan baru dengan PKR dan DAP bagi mengelakkan pilihan raya negeri diadakan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.