JPM Perjelas Salah Faham Kad Jemputan kepada Wan Azizah

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini memperjelaskan jemputan ke Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri hanya untuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 

Menurut kenyataan jabatan hari ini, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri (BIUPA) yang bertanggungjawab mengeluarkan kad jemputan tersebut telah tersilap memasukkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kad itu.

 

“Dalam hubungan ini, BIUPA memohon maaf dan mengaku telah membuat kesilapan dalam menghantar kad jemputan berkenaan,” menurut JPM.

 

JPM juga menegaskan jemputan tersebut telah dibuat BIUPA dan bukannya daripada Pejabat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

 

“Merujuk kepada laporan Malaysiakini bertajuk ‘PM jemput’ Anwar ke majlis hari terbuka, ingin dimaklumkan bahawa semua kad jemputan kepada tetamu telah dikeluarkan oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri (BIUPA) dan bukannya daripada Pejabat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

 

“BIUPA adalah Bahagian yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan jemputan kepada semua tetamu,” menurut kenyataan dua perenggan itu.

 

Portal berita Malaysiakini hari ini melaporkan Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara telah menerima jemputan untuk menghadiri majlis rumah terbuka itu pada Jumaat ini.

 

Menurut Malaysiakini, kad jemputan itu, yang telah dimuat naik dalam Facebook Anwar, mencatatkan nama isterinya Dr Wan Azizah dahulu dan diikuti namanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.