FGV Berpotensi Jana Pulangan Jangka Masa Panjang – PM

PEKAN – Pengambilalihan kepen­tingan dalam ladang kelapa sawit dan tebu milik PT Eagle High Plantations (EHP) di Indonesia berpotensi memberikan keuntungan kepada Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) untuk jangka masa panjang.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, FGV perlu memiliki ladang yang luas bagi mengukuhkan perniagaannya namun berdepan kekangan untuk membukanya di negara ini ekoran jumlah tanah yang terhad.

 

Menurutnya, hanya Indonesia sebagai negara terdekat menawarkan ladang yang luas manakala negara-negara lain tidak sesuai dari segi lokasi dan iklim.

 

“Kalau kita beli ladang subur di Kalimantan dan Papua New Guinea, kita akan dapat hasil besar. Lambat laun pendapatan bertambah.

 

“Kita tengok pasaran di Indonesia luas dengan kira-kira 200 juta penduduk. Kalau kita boleh jual minyak masak di negara itu, cuba bayangkan potensi pasarannya.

 

“Kalau jadi kita beli (ladang di Indonesia), kita juga dapat menjual gula yang harganya lebih tinggi berbanding di negara ini,” katanya dalam program rahmat Ramadan warga Felda Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di pekarangan Masjid Felda Chini 5 di sini semalam.

 

Pada 12 Jun lalu, FGV menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan Rajawali Group untuk mengambil alih 37 peratus kepen­tingan dalam EHP pada harga AS$680 juta (RM2.57 bilion) secara tunai dan pertukaran saham.

 

EHP memiliki ladang sawit seluas 425,000 hektar dengan 67 peratus di Kalimantan dan selebihnya di Papua New Guinea (sembilan peratus), Sulawesi (19 peratus ) serta Sumatera (lima peratus).

 

Najib bagaimanapun menegaskan, pembelian itu hanya akan dimuktamadkan selepas mendapat persetujuan semua pihak berkepentingan dan penilaian pihak ketiga.

 

Beliau berkata, Felda tidak akan terburu-buru membuat keputusan berhubung pertimba­ngan pengambilalihan tersebut.

 

“Perkara ini kita teliti dengan sebaik-baiknya, kita tidak terburu-buru. Peringkat pertama, kita menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dahulu.

 

“Peringkat kedua jika semua pihak termasuk peneroka, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dilihat bersetuju serta mendapat penilaian daripada pihak ketiga, barulah kita akan muktamadkan pembelian tersebut,” ujar beliau.

 

Dalam pada itu, Najib memberi jaminan melakukan yang terbaik dan tidak akan menghampakan rakyat sebagai seorang Perdana Menteri.

 

Beliau mengingatkan rakyat supaya bijak membuat penilaian terhadap sesuatu berita terutama yang dipaparkan di media sosial.

 

“Bukan semua yang dimuatkan dalam media sosial kita boleh te­lan bulat-bulat.

 

“Kita tidak boleh menjadi manusia yang tidak tahu buat penilaian kerana penilaian itulah yang paling mustahak kalau kita mahu menjaga ketenteraman dalam masyarakat, hendak meneruskan perjuangan dan mahu menjaga ikatan perpaduan,” katanya.

 

Terdahulu, beliau mengunjungi Bazar Ramadan Pasar Tani Bandar Dara Chini di sini petang semalam.

 

Beliau yang tiba kira-kira pukul 5.55 petang meluangkan masa hampir 20 minit meninjau bazar tersebut selain beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung serta membeli beberapa juadah seperti kuih muih, sate dan air tebu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.